DUNIA

Charisma Diplomasi Malaysia Di Beijing Menerusi Seni Muzik

11/05/2026 01:24 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Sepanjang menjadi diaspora Malaysia selama empat bulan di negara Tembok Besar, undangan untuk sebarang majlis anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sentiasa dinantikan.

Ini kerana majlis berkenaan biasanya menghidangkan juadah Malaysia antaranya nasi lemak, teh tarik, laksa, apam balik, mi goreng mamak,  rendang dan kuih-muih tempatan yang sentiasa dirindui.  

Namun, selain makanan Malaysia satu lagi elemen yang menghiburkan dan mengubat kerinduan penulis kepada tanah air ketika di perantauan ialah persembahan oleh kumpulan muzik Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

 Kumpulan yang menggabungkan sembilan bakat berkebolehan menyanyi dan bermain alat muzik  itu dinamakan Charisma, dianggotai oleh para pegawai lelaki serta suami kepada para pegawai wanita di Kedutaan.

Penulis pertama kali menyaksikan persembahan Charisma pada pelancaran Flavours of Malaysia@The Balcony di Grand Hyatt, Beijing pada musim luruh Oktober 2025. 

Antara lagu yang didendangkan pada majlis itu ialah Umpan Jinak di Air Tenang, Joget Toleh Menoleh, Joget Penghibur, Cik Mek Molek, Lemak Manis dan Warisan, yang mendapat perhatian pengunjung hotel.

Penulis difahamkan ketika itu Kedutaan Besar Malaysia di Beijing merupakan satu-satunya pejabat perwakilan Malaysia yang mempunyai kumpulan muziknya sendiri.

Namun, ketika di perantauan, komitmen terhadap program China International Press Communication Centre (CIPCC) yang menuntut penulis sering mengembara dari Beijing ke pelbagai wilayah dan provinsi menyebabkan hasrat untuk menulis tentang Charisma amat terbatas.

Setelah mendapat khabar, seorang daripada tonggak utama Charisma kini sudah kembali bertugas di tanah air, penulis bertemu dengannya di Putrajaya untuk bertanyakan khabar dan mengimbau kenangan manis bersama Charisma. 

Bekas Pengarah Pejabat Education Malaysia Beijing yang kini Ketua Penolong Setiausaha, Seksyen Pembangunan Halal, Bahagian Pembangunan Halal dan Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif berkata Charisma ditubuhkan atas gabungan penyertaan secara sukarela oleh ahli-ahlinya, dengan sokongan penuh oleh Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.

Muhammad Sallehuddin yang merupakan penyanyi utama Charisma  ketika bertugas di Beijing berkata  persembahan sulung kumpulan itu adalah pada majlis pelancaran Malaysian Gastronomy Festival pada 2024 di Shangri-La Haidian, Beijing.

 “Tujuan kami menubuhkan Charisma adalah untuk mempromosikan budaya dan cita rasa Malaysia di peringkat antarabangsa, terutamanya di China.

“Kita tahu China merupakan negara yang menghargai budaya biarpun maju dari segi perkembangan teknologi. Charisma merupakan platform yang baik untuk Malaysia memperkenalkan muzik dan karya seninya di negara Tembok Besar,” katanya. 

Beliau berkata selepas  persembahan pertama, Charisma sering mendapat perhatian rakyat  China dan diaspora Malaysia di China apabila aktif mendendangkan lagu-lagu tradisional, klasik dan pop Melayu selain lagu-lagu pelbagai bahasa.

Charisma turut berpeluang membuat persembahan ketika lawatan kenamaan Malaysia ke China, sambutan Hari Kebangsaan, serta persembahan di ASEAN-China Center (ACC) bersempena Festival Durian ASEAN.

Menurut Muhammad Sallehuddin,  selaku Atase Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi di China dari  2023 hingga 2025, beliau menggunakan peluang dengan sebaik mungkin untuk menonjolkan kepelbagaian budaya yang ada di tanah air bagi menarik  pelajar China supaya memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi.

Beliau percaya  langkah itu dapat memberikan nilai tambah kepada pelajar antarabangsa di Malaysia supaya bukan sekadar mendapat segulung ijazah, tetapi mendapat pendedahan tentang kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia.

Selain aktif dalam Charisma, beliau juga turut berperanan mengembangkan bakat pelajar Malaysia di China dalam seni tarian, puisi, nyanyian dan alat muzik yang ditonjolkan  dalam majlis rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Sehingga akhir 2025, terdapat lebih 6,000 pelajar Malaysia di pelbagai institusi pendidikan tinggi di seluruh China. 

 Ditanya mengenai jadual latihan Charisma, beliau berkata sesi latihan biasanya diadakan pada hujung minggu, atau ketika cuti umum di China.

Ini untuk memastikan tugas hakiki pegawai tidak terjejas dan menghormati masa  berkualiti anggota Charisma bersama keluarga masing-masing, katanya. 

Kata Muhammad Sallehuddin, penubuhan Charisma berjaya mengukuhkan solidariti “Home-Based Staff” para petugas Kedutaan Besar Malaysia di Beijing serta menyemarakkan rasa bangga sebagai anak Malaysia yang dapat memperkenalkan karya seni Malaysia di mata dunia.

Ditanya siapa yang berperanan sebagai penyanyi utama Charisma setelah beliau kembali ke tanah air dan apakah beliau merindukan untuk membuat persembahan bersama ahli kumpulan, Muhammad Sallehuddin berkata semua ahli Charisma berbakat dalam bidang nyanyian pelbagai genre.

Tugasan menyanyi selalunya dibuat penggiliran mengikut majlis. Pastinya aktiviti menyanyi di perantauan menjadi momen yang sentiasa dirindui, terutama bila membuat latihan bersama semua anggota Charisma di negara empat musim. Semuanya dilakukan dengan keikhlasan dan kesungguhan demi mengangkat nama Malaysia tercinta, katanya.

 Muhammad Sallehuddin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Duta Besar Malaysia di Beijing dan Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Norfarina Mohd Azmee, yang memberi peluang, sokongan dan kepercayaan kepada anggota Charisma sehingga dapat melangkah sejauh ini. 

“Charisma akan sentiasa berada di hati saya, walau di mana pun saya bertugas selepas ini,” katanya, mengakhiri perbualan penuh nostalgia mengenang kenangan manis di Beijing. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555472