JENAYAH & MAHKAMAH

Fadhlina Ziarah Keluarga Pelajar Maut Dilanggar Van Depan Sekolah

11/05/2026 09:32 PM

BATU PAHAT, 11 Mei (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini meluangkan masa menziarahi keluarga pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Seri Maimon yang maut dilanggar sebuah van di hadapan sekolah berkenaan pada 5 Mei lepas. 

Fadhlina tiba di rumah keluarga Nur Aini Umairah di Kampung Parit Mustaffa, Parit Sulong di sini pada kira-kira 5.30 petang dan menyantuni ibu mangsa Asmilah Tukiran, 37, serta bapanya, Ahmad Fareez Khalid, 39.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit dan turut menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian kepada keluarga Nur Aini Umairah.

Insiden pada 12.30 tengah hari itu menyaksikan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar van yang bergerak keluar dari dalam kawasan sekolah.

Dalam pada itu, Ahmad Fareez berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri dapat menambah baik prosedur operasi standard keselamatan terutama di sekolah rendah agar tragedi yang menimpa anaknya tidak berulang.

Terdahulu di Johor Bahru, Fadhlina berkata KPM sedang menambah baik Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat agar selari dengan cabaran semasa dan kekal relevan dalam melindungi murid serta warga sekolah.

 -- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555729