HAMILTON, 12 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menghidupkan semula “Project Freedom”, namun memberi amaran bahawa usaha mengiringi kapal melalui Selat Hormuz kali ini hanya akan menjadi sebahagian daripada “operasi ketenteraan lebih besar”.
Anadolu Ajansi melaporkan Trump ketika bercakap kepada Fox News berkata pemimpin “berpendirian keras” Iran akhirnya akan berundur.
“Mereka akan mengalah,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau boleh bekerjasama dengan kepimpinan Iran ketika ini, Trump berkata: “Saya akan berurusan dengan mereka sehingga mereka mencapai perjanjian.”
Trump turut mendakwa perunding Iran memaklumkan kepadanya bahawa Tehran tidak mempunyai teknologi untuk membersihkan bahan radioaktif di tapak nuklear yang musnah dan AS perlu mengambil semula “sisa radioaktif” itu.
AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb yang mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel dan sekutu AS di Teluk selain penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan. Gencatan senjata itu kemudiannya dilanjutkan Trump tanpa tempoh akhir ditetapkan.
Pada Ahad, Iran menyerahkan kepada Pakistan maklum balasnya terhadap cadangan AS bagi menamatkan perang itu, namun Trump menolaknya dengan menyifatkan cadangan berkenaan sebagai “langsung tidak boleh diterima”.
-- BERNAMA-ANADOLU