KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Gamuda Bhd di Australia, DT Infrastructure melaksanakan penyerahan Ladang Solar Jinbi 75 megawatt (MW) di wilayah Pilbara, Australia Barat bagi Yindjibarndi Energy Corporation (YEC).
Kumpulan pembinaan dan kejuruteraan serantau itu berkata ladang solar yang terdiri daripada 160,000 panel solar, menandakan peristiwa penting dalam penyahkarbonan di rantau Pilbara.
“Apabila beroperasi, projek ini akan menyokong operasi rangkaian kuasa serantau Rio Tinro dengan tenaga boleh baharu yang mampan dan boleh diharap,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DT Infrastructure John Anderson berkata projek itu penting untuk peralihan tenaga di rantau ini dan portfolio tenaga boleh baharu DT Infrastructure yang semakin berkembang.
“Projek ini bukan sahaja merupakan penambahan penting kepada saluran tenaga boleh baharu kami tetapi juga bukti komitmen kami kepada infrastruktur masa depan Pilbara.
“Kerjasama dengan salah satu inisiatif tenaga boleh baharu terbesar yang diterajui oleh Orang Asli Australia ini, membolehkan kami menyokong YEC dalam memberikan hasil jangka panjang bermakna untuk komuniti Yindjibarndi,” katanya.
Menurut Gamuda, projek itu merupakan salah satu daripada beberapa pembangunan utama yang sedang dilaksanakan oleh YEC menerusi hab tenaga boleh baharu di Banjaran Chichester dan Zon Pembangunan Timur yang menyokong lebih 1.5 gigawatt (GW) projek penyimpanan angin, solar dan bateri di Wilayah Pilbara.
Sementara itu, CEO YEC Craig Ricato berkata penglibatan DT Infrastructure merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi YEC untuk tenaga lestari di Yindjibarndi.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang berkongsi komitmen kami terhadap kecemerlangan teknikal dan hasil komuniti yang bermakna ketika kami menuju ke arah matlamat untuk menyediakan kapasiti boleh baharu 3GW di Pilbara,” katanya.
Menurut Gamuda, mobilisasi projek sedang berjalan, dan dijangka siap menjelang awal 2028.
-- BERNAMA