KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia kekal melebihi paras 1,700 mata pada akhir sesi dagangan pagi, disokong oleh minat belian, terutamanya di kaunter perladangan dan penjagaan kesihatan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.43 mata atau 0.13 peratus kepada 1,750.49 daripada 1,748.06 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka tinggi 5.94 mata kepada 1,754.0 bergerak antara 1,744.99 dan 1,754.0 sepanjang sesi dagangan.
Pasaran secara menyeluruh, bagaimanapun negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 549 berbanding 445 manakala 571 kaunter tidak berubah, 1,088 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.10 bilion unit bernilai RM1.43 bilion.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangka FBM KLCI kekal dalam fasa pengambilan untung yang teratur susulan kenaikan 26 mata setakat ini (April: +31.7 mata; setakat ini: +67.6 mata) dalam ketegangan geopolitik yang meningkat dan harga minyak mentah Brent hampir mencecah US$105 setong.
Kenaikan harga minyak adalah selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyifatkan respons Iran terhadap cadangan damai AS sebagai ‘tidak boleh diterima’.
Menurut bank pelaburan itu, sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati dan didorong oleh perkembangan semasa, dengan gencatan senjata yang tidak stabil berisiko tergugat susulan pertempuran baharu antara AS dan Iran di Teluk Parsi serta ketegangan berterusan antara Israel dan Lubnan yang boleh menjejaskan usaha perdamaian.
“Selain geopolitik, tumpuan beralih kepada pertemuan Trump-Presiden China, Xi Jinping di Beijing minggu ini, apabila kedua-dua pihak menyasarkan untuk menstabilkan hubungan yang tegang mengenai perdagangan, Taiwan, cip kecerdasan buatan (AI), nadir bumi dan konflik Iran,” menurutnya dalam nota penyelidikan.
Pada peringkat domestik, HLIB memaklumkan tumpuan kekal pada musim pelaporan pendapatan suku pertama 2026, terutamanya untuk panduan masa depan dan petunjuk makro apabila pelabur mempertimbangkan asas yang berdaya tahan terhadap risiko geopolitik yang meningkat, harga tenaga yang tinggi, gangguan rantaian bekalan dan cabaran pertumbuhan baharu.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM11.20 dan IHH Healthcare menambah lima sen kepada RM8.94 manakala Public Bank menurun satu sen kepada RM4.87, Tenaga Nasional berkurangan 12 sen kepada RM14.70 dan CIMB mendatar pada RM7.93.
Bagi kaunter paling aktif, Top Glove menambah enam sen kepada 82 sen, SMRT naik empat sen kepada 25 sen dan Hartalega meningkat 10 sen kepada RM1.33 manakala Zetrix AI merosot setengah sen kepada 86.5 sen dan GIIB menurun 2.5 sen kepada 13.5 sen.
Kaunter paling untung ialah Fraser & Neave melonjak 18 sen kepada RM30.20, Press Metal dan KPJ meningkat 12 sen kepada RM8.80 dan RM3.48, SD Guthrie naik 11 sen kepada RM6.17 serta KESM dan Hume Cement menambah 10 sen kepada RMR4.66 dan RM3.21.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle (M) menurun 60 sen kepada RM102.0, Hong Leong Industries merosot 38 sen kepada RM18.78, United Plantations berkurangan 26 sen kepada RM30.54, Hong Leong Bank dan Hong Leong Financial, masing-masing menyusut 20 sen kepada RM22.42 dan RM18.98.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 21.07 mata kepada 12,951.31, Indeks FBM Top 100 meningkat 21.35 mata kepada 12,793.88, Indeks FBM Emas Shariah menokok 23.26 mata kepada 12,861.57, Indeks FBM Mid 70 menambah 46.44 mata kepada 18,530.67 dan Indeks FBM ACE naik 9.36 mata kepada 4,620.68.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 40.98 mata kepada 20,332.83, Indeks Tenaga meningkat 2.12 mata kepada 814.43, Indeks Perladangan naik 46.47 mata kepada 8,884.89 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menokok 0.94 mata kepada 195.59.
-- BERNAMA