KOTA KINABALU, 11 Mei (Bernama) -- Sabah mengambil pendekatan yang lebih fleksibel terhadap prospek pelancongan negeri itu susulan perubahan dalam industri penerbangan global akibat ketegangan geopolitik, peningkatan kos dan perubahan kapasiti syarikat penerbangan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata perancangan pelancongan akan dipandu oleh rangka kerja yang fleksibel bagi membolehkan penilaian berterusan terhadap perkembangan global, khususnya yang menjejaskan kesalinghubungan udara dan permintaan antarabangsa.
“Kita sudah melihat perubahan ini menjejaskan kapasiti syarikat penerbangan apabila penggantungan laluan dan pengurangan kekerapan memberi kesan terhadap penerbangan ke Kota Kinabalu.
“Kami memantau rapat perkembangan semasa bagi memastikan perancangan pelancongan kami kekal responsif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jafry berkata antara yang terjejas ialah penggantungan sementara laluan Singapura-Kota Kinabalu oleh AirAsia bermula 13 Mei hingga 30 Nov, Jakarta-Kota Kinabalu dari 16 April hingga 21 Mei dan Ho Chi Minh-Kota Kinabalu bermula 1 Julai.
Batik Air turut menggantung laluan Seoul-Kota Kinabalu berkuat kuasa 28 April, manakala di peringkat domestik, AirAsia akan menggantung sementara laluan Sibu-Kota Kinabalu dan Bintulu-Kota Kinabalu dari 8 Jun hingga 30 Jun.
Jafry berkata perkembangan itu mencerminkan faktor luaran yang boleh mempengaruhi ketibaan pelawat dan trend keseluruhan kesalinghubungan udara.
Beliau berkata perancangan prestasi ketibaan pelawat dibuat berdasarkan penilaian berasaskan senario yang mencerminkan pelbagai persekitaran operasi, termasuk gangguan luaran yang berpanjangan, keadaan asas yang semakin stabil serta potensi pemulihan kapasiti syarikat penerbangan.
“Setakat Mac, ketibaan pelancong masih di landasan yang tepat ke arah sasaran asal, iaitu empat juta orang tetapi sasaran mungkin disemak semula bergantung pada perkembangan semasa kesalinghubungan udara dan keadaan pasaran.
“Pendekatan ini disokong oleh risikan pasaran berterusan, penyelidikan dan penglibatan industri yang diterajui oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB), termasuk penyelarasan dengan rakan syarikat penerbangan bagi memperkukuh perancangan kesalinghubungan serta menyokong proses membuat keputusan berkaitan strategi pelancongan,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan statistik awal, Sabah merekodkan 932,970 ketibaan pelancong setakat Mac 2026, terdiri daripada 537,317 pelawat domestik dan 395,653 pelawat antarabangsa.
“Kementerian, bersama-sama STB akan terus melakukan libat urus dengan rakan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan bagi memperkukuh kesalinghubungan serta meningkatkan kebolehcapaian ke Sabah. Dalam persekitaran semasa, kita perlu kekal adaptif dan responsif,” katanya.
-- BERNAMA