GEORGE TOWN, 6 Mei (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memasang dua saluran paip utama berdiameter 1.8 meter (m) bagi menyalurkan lebih banyak air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Daerah Barat Daya (DBD) di bahagian pulau, sebagai langkah memperkukuh bekalan air menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata projek itu merupakan komponen penting Fasa Tiga Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030), yang dianggarkan menelan kos keseluruhan kira-kira RM416 juta.
Saluran paip pertama akan menghubungkan LRA Sungai Dua ke lokasi sambungan Projek Paip Berkembar Dasar Laut Pulau Pinang Ketiga (PTSP ketiga) di Butterworth, melibatkan jajaran kira-kira 13 kilometer di tanah besar.
“Saluran paip kedua pula akan menghubungkan 'lokasi pendaratan' PTSP ketiga di kawasan Macallum ke Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar, sejauh kira-kira 3.9 kilometer di bahagian pulau.
“Dua saluran paip itu penting untuk membolehkan kita mengepam lebih banyak air terawat dari Sungai Dua ke pulau, khususnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kawasan Barat Daya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek itu di Solok Tengku, di sini hari ini.
Pathmanathan berkata permintaan air di DBD dijangka meningkat ketara daripada 202 juta liter sehari (JLH) pada tahun lepas kepada 301 JLH menjelang 2030, iaitu peningkatan hampir 50 peratus didorong oleh projek pembesaran kilang, pembangunan hartanah serta pembangunan Penang Silicon Island.
Kerja pemasangan saluran paip baharu dari Macallum ke Bukit Dumbar dijadual bermula bulan ini, dan dijangka siap menjelang Mei 2027.
Beliau berkata projek sepanjang 3.9 kilometer itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, dan untuk fasa pertama telah ditender, manakala fasa kedua akan ditender selepas semua isu teknikal dan pengambilan tanah selesai.
Pada masa ini, kira-kira 400 juta liter sehari air disalurkan ke bahagian pulau, dan dengan siapnya saluran paip khusus ini kapasiti itu boleh ditingkatkan kepada sekitar 600 juta liter sehari.
"Satu lagi komponen penting projek ialah pembinaan paip sepanjang kira-kira 13 hingga 14 kilometer di tanah besar dari Sungai Dua ke Butterworth, yang kini dalam peringkat perancangan jajaran," katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan WCP 2030 bernilai RM2.1 bilion dilaksanakan bagi mengoptimumkan sumber air mentah, meningkatkan kapasiti rawatan air serta mengurangkan kebergantungan kepada LRA Sungai Dua.
-- BERNAMA