PASARAN

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Dalam Rundingan Damai Asia Barat Sedang Berlangsung

11/05/2026 09:27 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan pelabur memantau rundingan damai yang sedang berlangsung berhubung krisis di Asia Barat, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9170/9230 berbanding dolar AS daripada 3.9185/9230 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran terus tertumpu kepada perang di Iran, dengan rundingan damai yang sedang berlangsung dilihat sukar dicapai dalam laporan yang tidak konsisten mengenai perkembangan rundingan tersebut.

“Harga minyak yang tinggi menjejaskan margin perniagaan dan perbelanjaan pengguna di seluruh dunia, membawa kepada kemungkinan pelaburan dan perbelanjaan pengguna menjadi lembap.

“Oleh itu, kesediaan peniaga untuk mengambil risiko dijangka kekal berhati-hati,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 3.55 peratus kepada US$104.93 setong. 

Mohd Afzanizam berkata laporan senarai gaji bukan ladang AS meningkat kepada 115,000 pada April berbanding anggaran konsensus sebanyak 62,000, menunjukkan pasaran tenaga kerja AS kekal berdaya tahan dan Rizab Persekutuan AS mungkin tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah.

Oleh itu, katanya ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dan peniaga turut menjangkakan pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 pada Jumaat ini.

“Ekonomi Malaysia dilihat akan terus mengekalkan trajektori pertumbuhan yang baik dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dan mungkin pada separuh pertama tahun 2026.

“Jangkaan itu dapat memberikan sokongan kepada ringgit memandangkan kerajaan kekal proaktif untuk memberikan respons yang baik terhadap kejutan semasa,” katanya.

Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dan kebanyakan mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4970/5010 daripada 2.5010/5040 semasa ditutup pada Jumaat lepas, naik berbanding pound kepada 5.3248/3329 daripada 5.3354/3416 dan menokok berbanding euro kepada 4.6095/6166 daripada 4.6121/6174 sebelum ini.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0886/0936 daripada 3.0910/0948 semasa ditutup pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1322/1579 daripada 12.1640/1844 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 225.3/225.7 daripada 225.4/225.7 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.46/6.47 berbanding paras semasa ditutup pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555347