SUKAN

Irfan, Yusof Terima Anugerah Khas SAM-100PLUS 2025

10/05/2026 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Atlet lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet berbasikal trek para Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin masing-masing dipilih sebagai penerima Anugerah Khas sempena Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025.

Naib Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Anugerah SAM-100PLUS 2025 Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata pencapaian kedua-dua atlet itu bukan hadir dalam sekelip mata, sebaliknya menuntut pengorbanan besar melebihi sekadar latihan di gelanggang.

“SAM berharap pengiktirafan ini dapat menyemarakkan lagi semangat bukan sahaja Muhammad Irfan dan Mohamad Yusof, malah menjadi inspirasi kepada permata baharu arena sukan tanah air. Kejayaan memerlukan pengorbanan dan kesabaran untuk direalisasikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Irfan terus membuktikan dominasinya dalam acara lempar cakera apabila memenangi pingat emas Sukan SEA 2025 di Thailand sambil mencipta rekod baharu temasya.

Kejayaan itu mengukuhkan status atlet kelahiran Negeri Sembilan itu sebagai jaguh Asia Tenggara apabila meraih pingat emas ketujuh berturut-turut sejak mula menguasai acara berkenaan pada edisi 2013 di Myanmar.

Sementara itu, Mohamad Yusof turut melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet para negara pertama menyarung Jersi Pelangi selepas memenangi pingat emas acara MC1 200 meter flying sprint pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.

Dalam perkembangan sama,  Allianz Malaysia Berhad menerusi penganjuran Kejohanan Badminton Remaja Allianz turut dipilih sebagai penerima Anugerah Khas SAM-100PLUS 2025 atas sumbangan syarikat itu dalam memperkukuh pembangunan badminton negara.

Anugerah SAM-100PLUS 2025 dijadual berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu ini dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Pada majlis itu, turut dipertandingkan Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Para Terbaik dan Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.

Selain mengiktiraf atlet cemerlang yang mengharumkan nama negara sepanjang tahun lepas, majlis berkenaan turut meraikan wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM65,000.

Anugerah itu dibahagikan kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), Fotografi Sukan Terbaik serta Anugerah Pengulas Sukan Popular.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555214