KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat 9.8 peratus tahun ke tahun pada Mac 2026 dengan nilai jualan mencecah RM169 bilion, disokong permintaan pengguna bermusim yang kukuh, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan jualan yang direkodkan pada Mac 2026 disokong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit.
“Perdagangan borong mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM78.4 bilion, meningkat RM10.6 bilion tahun ke tahun atau pertumbuhan 15.7 peratus, manakala perdagangan runcit mencatat jualan RM72 bilion, naik RM5 bilion atau 7.5 peratus berbanding Mac 2025.
"Sebaliknya, subsektor kenderaan bermotor mengalami sedikit penyusutan sebanyak RM0.6 bilion dengan jumlah jualan sebanyak RM18.6 bilion," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut mengenai prestasi subsektor perdagangan borong, Mohd Uzir berkata pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang melonjak 32.0 peratus kepada RM32.6 bilion.
Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan jualan petrol, diesel dan pelincir susulan kenaikan harga minyak mentah dalam ekonomi global semasa.
Selain itu, beliau berkata jualan borong barangan isi rumah berkembang 7.9 peratus kepada RM15.6 bilion, disokong oleh pertumbuhan yang berterusan dalam jualan barangan farmaseutikal dan perubatan, perabot isi rumah dan kasut.
Seterusnya, jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup merekodkan peningkatan 5.7 peratus kepada RM6.6 bilion, disumbangkan terutamanya oleh permintaan yang lebih kukuh bagi minyak kelapa sawit, kata beliau.
“Subsektor perdagangan runcit terus mencatatkan prestasi yang stabil pada Mac, dipacu oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang berkembang 8.1 peratus kepada RM27.9 bilion, disokong oleh pengukuhan jualan bagi pasar raya, pasar mini dan gedung serbaneka.
"Jualan runcit di kedai pengkhususan turut meningkat 8.2 peratus kepada RM15.4 bilion, didorong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi barangan farmaseutikal, perubatan dan ortopedik, minyak wangi dan kosmetik, pakaian dan barang kemas," katanya.
Sementara itu, DOSM berkata penurunan dalam subsektor kenderaan bermotor pada bulan tersebut disebabkan oleh penguncupan sebanyak 12.5 peratus dalam jualan kenderaan bermotor kepada RM8.9 bilion.
Trend ini adalah selari dengan data daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang melaporkan jumlah jualan kenderaan sebanyak 63,489 unit, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) merekodkan 67,846 pendaftaran kenderaan bagi tempoh yang sama.
"Bagaimanapun, kumpulan lain dalam subsektor ini terus mencatatkan pertumbuhan positif termasuk jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor (7.6 peratus), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (9.8 peratus) serta jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (0.6 peratus) yang mencerminkan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan komponen selepas jualan," katanya.
Sementara itu, jabatan berkenaan berkata jualan runcit dalam talian terus merekodkan pertumbuhan positif pada Mac, dengan indeks jualan meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun berbanding 5.8 peratus pada bulan sebelumnya, menunjukkan permintaan yang kekal kukuh dalam segmen e-dagang
Katanya aktiviti pembayaran digital terus mengukuh pada Mac, dengan transaksi e-money melonjak 64.3 peratus tahun ke tahun kepada RM33.3 bilion, mencerminkan peningkatan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai.
"Platform Real-time Retail Payments Platform (RPP) turut mengekalkan prestasi yang kukuh dengan jumlah transaksi sebanyak RM369.4 bilion, mencatatkan pertumbuhan 24.1 peratus.
"Sementara itu, transaksi FPX meningkat 20.4 peratus kepada RM48.7 bilion. Transaksi kad kredit dan kad debit masing-masing merekodkan RM20.1 bilion dan RM15.5 bilion," katanya.
-- BERNAMA