AM

Persiapan Akhir Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 Berjalan Lancar

08/05/2026 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Persiapan akhir Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 yang akan berlangsung esok berjalan lancar, dengan jawatankuasa pelaksana kini giat melakukan sentuhan akhir bagi memastikan pertandingan itu berlangsung dengan sempurna. 

 Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata program berkenaan diharap bukan sahaja dapat mengangkat warisan bangsa, malah menjadi platform mencungkil bakat pengamal media dalam seni berpantun.

“Alhamdulillah, jawatankuasa yang menguruskan Pesta Pantun HAWANA-DBP tahun ini telah bertungkus-lumus memastikan persiapan untuk acara sebenar esok berjalan dengan lancar dan saya berasa gembira dengan persiapan yang dibuat.

“Kali ini kita membawa kelainan dengan mengadakannya di Panggung Sari, Kompleks Kraf yang mempunyai suasana dan hiasan reka bentuk yang sedikit sebanyak dapat menyuntik perasaan kita untuk berpantun dengan lebih baik dan bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui semasa raptai penuh Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 di sini hari ini.

Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA berkata pertandingan kali ini masih mengekalkan identiti tradisional apabila semua peserta tampil dalam busana klasik Melayu, malah penonton juga bakal disajikan dengan persembahan nyanyian tradisional oleh Mawi. 

Nur-ul Afida berkata seperti edisi terdahulu, keputusan juara dan naib juara hanya akan diumumkan pada sambutan kemuncak HAWANA 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun ini.

“Saya berharap pertandingan ini berjalan lancar dan dapat memuaskan hati semua pihak yang bertanding. Kelapan-lapan pasukan juga dapat menampilkan kehebatan masing-masing dalam berpantun dan memperoleh kedudukan tertinggi,” katanya.

Mengangkat tema Kewartawanan dan Teknologi, Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 menyaksikan lapan pasukan terdiri daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), TV3, Astro Audio News, Berita Harian, Sinar Harian, Media Selangor dan Bernama berentap merebut gelaran juara. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554711