KOTA BHARU, 8 Mei (Bernama) -- Seorang jurupam stesen minyak meninggal dunia selepas dipercayai mengalami sesak nafas ketika mendaki Bukit Gunong, Bachok, hari ini.
Mangsa Mohd Yusof Hamat, 41, dari Peringat, dilaporkan mendaki bukit berkenaan seorang diri sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di puncak bukit itu pada 8.30 pagi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Ibrahim Mohd Ghani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.45 pagi, sebelum anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki dewasa warga tempatan tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Gunong.
“Anggota bertugas membawa satu unit pengusung dan tali ‘webbing’ untuk ke puncak bukit yang mempunyai ketinggian kira-kira 317 meter dari aras laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata kejadian itu disedari seorang doktor yang kebetulan berada di puncak bukit bersama keluarganya untuk melakukan aktiviti pendakian.
Ibrahim berkata doktor terbabit cuba memberikan bantuan pernafasan dan oksigen kepada mangsa, sebaik melihat lelaki itu terbaring dalam keadaan lemah, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian.
“Anggota bomba kemudian membawa turun mayat mangsa dari puncak bukit, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata operasi membawa turun mangsa selesai pada 9.04 pagi dan melibatkan anggota dari BBP Bachok.
-- BERNAMA