Daripada Niam Seet Wei
CEBU (Filipina), 8 Mei (Bernama) -- Malaysia memainkan peranan menggilap semangat ASEAN khususnya dalam usaha merapatkan jurang pembangunan serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pada sidang tersebut, selain menjulang sikap dan prinsip yang selari dengan norma dan undang-undang antarabangsa, Malaysia juga telah memperluas serta mencipta jaringan perdagangan, merancak pelaburan, memperkasakan liputan dan fungsi digital serta keterjaminan makanan.
“Walhasil, Malaysia akan terus memainkan peranannya dalam mempererat hubungan antara negara ASEAN, terutamanya dalam mendepani kemelut bekalan tenaga yang bersifat sejagat dan yang sedang merenggut semua,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di sini, yang berlangsung dari 7 hingga 8 Mei.
Beliau tiba di sini bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN dari Malaysia pada 1 Jan 2026 dengan tema “Navigating Our Future, Together,” (Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama) menerusi tiga teras iaitu Tonggak Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran dan Pemerkasaan Rakyat.
-- BERNAMA