JENAYAH & MAHKAMAH

Isu Pemerintahan N.Sembilan: Polis Rakam Keterangan 49 Individu

08/05/2026 05:36 PM

SEREMBAN, 8 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Sembilan merakam keterangan 49 individu bagi membantu siasatan berhubung kenyataan serta penyebaran kandungan di media sosial yang berkaitan dengan isu semasa melibatkan pemerintahan dan pentadbiran di negeri itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata siasatan dijalankan susulan beberapa laporan diterima berhubung kandungan yang berpotensi mencetuskan provokasi, keresahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi, menggugat ketenteraman awam serta menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), khususnya melalui media sosial.

Beliau berkata orang ramai perlu sentiasa mematuhi undang-undang serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan negeri.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati terlibat dengan perbuatan yang boleh mengganggu keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554556