JERTIH, 8 Mei (Bernama) -- Dalam memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) hari ini menganjurkan program EPIC Jom Bersih 2026 di Pantai Air Tawar, Besut.
Melalui program itu, seramai 400 peserta berjaya mengutip kira-kira 1.3 tan sampah dan sisa buangan, termasuk 375 kilogram botol plastik yang dihanyutkan ombak serta ditinggalkan di kawasan pantai, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memperluas usaha pendidikan serta kesedaran awam, mengenai tanggungjawab bersama menjaga kebersihan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad Dr Ts Muhtar Suhaili berkata program itu, bukan hanya sekadar aktiviti gotong-royong semata-mata, sebaliknya menjadi platform penting dalam menyatukan pelbagai pihak untuk memainkan peranan aktif dalam memelihara khazanah alam negara.
“Usaha seperti ini mencerminkan komitmen berterusan EPIC Berhad dalam mendukung prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, yang aspek penjagaan alam sekitar, pembangunan sosial serta tadbir urus yang bertanggungjawab sentiasa menjadi antara fokus utama syarikat.
“Sebagai syarikat yang beroperasi dalam industri tenaga, kami percaya tanggungjawab yang dipikul tidak terhenti kepada aspek operasi dan prestasi perniagaan sahaja, malah turut merangkumi usaha memastikan keseimbangan antara pembangunan industri, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhtar berkata penganjuran program itu, merupakan manifestasi usaha kolektif dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar, khususnya dalam memastikan kawasan pesisir pantai kekal bersih, selamat dan lestari untuk dinikmati pengunjung.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Besut, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Geng Plastik Ija (GPI), melibatkan 400 sukarelawan terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pelajar UniSZA, komuniti setempat dan warga kerja EPIC Berhad.
Program EPIC Jom Bersih 2026, menjadi simbol kesepaduan pelbagai pihak dalam usaha memelihara khazanah alam yang merupakan warisan bersama.
Kenyataan itu turut memaklumkan sehingga kini, EPIC Berhad dengan kerjasama pelbagai pihak telah berjaya mengumpul sebanyak 2.4 tan sampah, menerusi pelaksanaan beberapa program pembersihan pantai di Terengganu.
“Pihak syarikat berhasrat untuk terus memperkasakan pelaksanaan inisiatif berteraskan kelestarian dan tanggungjawab sosial, sebagai usaha berterusan dalam mewujudkan impak positif yang berkekalan kepada masyarakat serta alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA