JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Maut, Isteri Cedera Dipukul Penyamun

08/05/2026 05:22 PM

IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera dipercayai dipukul dengan objek keras dalam kejadian samun di sebuah rumah di Jalan Melayu, Ayer Tawar di Sitiawan, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira 5.30 pagi.

"Pasangan suami isteri warga emas itu diserang dan dipukul menggunakan objek keras oleh seorang lelaki menyebabkan mereka mengalami kecederaan serius.

"Suspek melarikan dua unit telefon bimbit dan beg duit milik mangsa. Jiran mangsa yang terdengar bunyi bising datang membantu dan membawa mangsa ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasbullah berkata bagaimanapun, lelaki berusia 84 tahun itu disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan dan proses bedah siasat akan dijalankan untuk mengesahkan punca kematian.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut, pihaknya berjaya menahan suspek iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, kira-kira 7.45 malam tadi.

Katanya, suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 394 kanun yang sama.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554543