AM

Pelajar Maut Terkena Renjatan Elektrik Semasa Ambil Wuduk

07/05/2026 09:49 PM

SIBU, 7 Mei (Bernama) -- Seorang pelajar Tingkatan Empat maut manakala seorang lagi pelajar Tingkatan Tiga cedera parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Daro, Bahagian Mukah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata pihaknya menerima makluman daripada pihak sekolah mengenai kejadian itu kira-kira 8 malam ketika tiga pelajar lelaki berada di kawasan mengambil wuduk.

Beliau berkata mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Seorang lagi mangsa berusia 15 tahun yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahim berkata seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun yang turut berada di lokasi kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata pihak Sarawak Energy telah dimaklumkan untuk memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut, manakala kes masih dalam siasatan.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak telah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti tahap pematuhan aspek keselamatan sekolah berkenaan.

JPN Sarawak dalam kenyataan memaklukan kejadian itu turut disiasat pihak berkauasa.

Menurut kenyataan itu, kawasan kejadian telah ditutup dan murid, guru serta warga sekolah dilarang menghampiri lokasi sehingga disahkan selamat.

JPN Sarawak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, Allahyarham Fahrin Jumandy Abdullah.

“Fokus JPN Sarawak ketika ini adalah untuk memberi bantuan terbaik kepada keluarga Allahyarham.

“Pada masa sama, kebajikan seorang lagi murid yang sedang menerima rawatan turut diberi perhatian dan diharapkan segera sembuh,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554151