JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan 28 Etnik Rohingya Di Sebuah Inap Desa Di Arau

07/05/2026 04:32 PM

KANGAR, 7 Mei (Bernama) --Seramai 28 warga Rohingya termasuk seorang bayi berusia setahun ditahan dalam Ops Pintas (TIP) Pemerdagangan Orang di sebuah inap desa di Jalan Padang Nyu, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Arau, Supt  Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata semua individu berusia antara setahun hingga 44 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

Beliau berkata mereka yang ditahan membabitkan 10 lelaki, 10 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.

“Hasil pemeriksaan dokumen pengenalan diri mendapati hanya 15 individu memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala selebihnya dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Semua pemegang kad UNHCR dibebaskan, manakala 13 lagi ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mohsin berkata mereka dipercayai memasuki negara ini antara satu hingga dua tahun lepas dengan menaiki bot dari Myanmar sebelum berlabuh di Thailand dan berjalan kaki memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah.

Katanya mereka dipercayai dibantu etnik Rohingya lain yang belum dikenal pasti sebelum menetap sementara di negeri ini bagi mendapatkan perlindungan serta mengelak dikesan pihak berkuasa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554043