EKONOMI

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Berikutan Perbincangan Damai Di Asia Barat

08/05/2026 10:14 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas pasaran menumpukan kepada rundingan damai Asia Barat yang sedang berlangsung, kata seorang peniaga.

Pada masa yang sama, asas-asas dalam sektor minyak sawit juga turut memberi kesan ke atas harga, dengan jangkaan bekalan yang bertambah baik dan permintaan yang secara relatifnya lebih lemah telah mewujudkan tambahan tekanan ke bawah pada pasaran.

“Ketegangan selanjutnya boleh mengekalkan harga disokong atau mendorong kenaikan mendadak,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan, kontrak Mei 2026 susut RM13 kepada RM4,478 setan, Jun 2026 merosot RM35 kepada RM4,472 dan Julai 2026 jatuh RM36 kepada RM4,505.

Kontrak Ogos 2026 berkurangan sebanyak RM34 kepada RM4,521 satu tan, September 2026 turun RM32 kepada RM4,526 dan Oktober 2026 melemah RM24 kepada RM4,532.

Jumlah dagangan menyaksikan penurunan kepada 86,804 lot berbanding 90,258 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka susut kepada 281,027 kontrak daripada 283,723 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Selatan Mei berada pada RM4,550 setan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554750