JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Pulau Pinang Tahan Bot Nelayan Tempatan, Langgar Syarat Sah Lesen

07/05/2026 06:46 PM

GEORGE TOWN,  7 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C, kerana disyaki melanggar syarat sah lesen ketika berada pada kedudukan 2.7 batu nautika selatan Pulau Kendi, malam tadi.

Pengarahnya Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata VNT itu, ditahan bot APMM yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan tersebut, sebelum melakukan pemeriksaan terhadap vesel nelayan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel itu dikendalikan lima kru warga Myanmar termasuk tekong yang kesemuanya berusia 22 hingga 38 tahun dan seorang daripadanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8(b), kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 15(1), kerana tidak memiliki permit kerja yang sah di atas vesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua kru bersama vesel yang dianggarkan bernilai RM3 juta itu, telah diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554061