KANGAR, 7 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis akan menubuhkan Jawatankuasa Peneraju Transformasi dan Pemantauan bagi merangka hala tuju pembangunan secara lebih tersusun, dalam usaha mempercepat pencapaian status negeri maju menjelang 2040.
Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata jawatankuasa itu akan memberikan tumpuan meliputi ekonomi, pelaburan, pendidikan, agama dan pelancongan dengan pendekatan pembangunan jangka pendek, sederhana serta panjang.
“Kepimpinan negeri perlu mempunyai hala tuju yang jelas, khususnya dalam usaha memperkasa sektor ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan bagi meningkatkan negeri ini ke arah Perlis maju,” katanya selepas merasmikan Sesi Libat Urus Banci Ekonomi (BE) 2026 Negeri Perlis di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Abu Bakar berkata pengumuman lanjut mengenai jawatankuasa dan hala tuju pembangunan itu dijangka dibuat dalam sesi penggulungannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jun depan.
Sementara itu, beliau berkata sektor pelancongan di negeri itu mempunyai ruang besar untuk dibangunkan termasuk aspek perhotelan dan kemudahan sokongan bagi menampung pertambahan pelancong.
“Perlis ini pelancongannya boleh pergi jauh, yang penting negeri perlu tambah perhotelan dan sebagainya kerana sekarang ini memang tidak cukup hotel,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan Jabatan Perangkaan (DOSM) Perlis sempena majlis perasmian itu dimaklumkan, pembancian sektor ekonomi akan meliputi hampir 10,000 pertubuhan perniagaan melibatkan lima sektor utama, iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian.
Abu Bakar dalam kenyataan itu berkata pelaksanaan BE 2026 juga selaras dengan dasar pembangunan negeri meliputi Rancangan Struktur Negeri 2040 (Kajian Semula), Pelan Strategik Pembangunan Negeri Perlis dan Pelan Digital Perlis.
“Data yang dikumpul melalui banci ini akan menjadi input penting dalam penggubalan dasar fiskal, monetari, sosial dan pembangunan, di samping membantu kerajaan menilai keberkesanan program sedia ada,” katanya.
-- BERNAMA