KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun pada Mac 2026, dipacu oleh pertumbuhan 5.5 peratus dalam output sektor pembuatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurutnya sektor perlombongan terus merekodkan penurunan dengan pertumbuhan negatif 6.5 peratus berbanding penguncupan 2.0 peratus pada Februari 2026 manakala dari segi bulan ke bulan, IPP kembali meningkat 9.3 peratus selepas merekodkan pertumbuhan negatif 9.2 peratus pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata output berorientasikan eksport yang menyumbang dua pertiga daripada sektor pembuatan berkembang 6.7 peratus pada Mac 2026 berbanding 5.0 peratus pada bulan sebelumnya.
Menurutnya pengembangan ini disokong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang melonjak 14.8 peratus; dan diikuti oleh pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan pada 13.5 peratus.
“Pengembangan tahun ke tahun ini dicerminkan oleh prestasi eksport negara yang meningkat 8.3 peratus pada Mac 2026. Perbandingan dengan Februari 2026, industri berorientasikan eksport meningkat 11.9 peratus selepas merekodkan negatif 8.1 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata kemerosotan sebanyak 6.5 peratus dalam sektor perlombongan pada Mac 2026 adalah disebabkan penurunan dalam kedua-dua komponen iaitu pengeluaran minyak mentah dan kondensat 11.3 peratus (Februari 2026: -4.3 peratus) manakala output gas asli merekodkan penurunan berterusan iaitu 3.4 peratus (Februari 2026: -0.4 peratus).
Sementara itu, penjanaan elektrik meningkat 4.9 peratus tahun ke tahun pada Mac 2026 berbanding 4.6 peratus pada Februari 2026.
Dari segi bulan ke bulan, indeks elektrik melonjak 12.1 peratus berbanding 8.0 peratus pada Februari 2026.
Mohd Uzir berkata pada masa sama, pertumbuhan pengeluaran industri berorientasikan domestik meningkat 2.8 peratus pada Mac 2026 berbanding 2.7 peratus pada bulan sebelumnya, dipacu oleh pembuatan produk pemprosesan makanan (7.2 peratus); dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (4.0 peratus).
“Berbanding bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik kembali meningkat 1.4 peratus,” katanya.
-- BERNAMA