JENAYAH & MAHKAMAH

Suami Isteri Maut Dirempuh Kereta Disyaki Dipandu Lelaki Mabuk

03/05/2026 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Pasangan suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk di Jalan Ampang, berhampiran Menara Great Eastern di sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata dalam insiden pada 5.34 pagi itu, mangsa lelaki berusia 61 tahun dan isterinya, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal mangsa jenis Honda Wave Alpha.

"Pemandu kereta tersebut kini dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami kecederaan di kepala.

“Polis telah mengambil sampel darah dan air kencing pemandu tersebut untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi ujian toksikologi kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata turut cedera dalam kejadian itu rakan pemandu yang merupakan penumpang hadapan kereta iaitu lelaki berusia 23 tahun yang juga masih dirawat di Zon Merah HKL, manakala seorang lagi penumpang di bahagian belakang hanya mengalami luka ringan dan telah dirakam keterangan oleh pihak polis semalam.

“Mayat pasangan suami isteri itu telah dituntut oleh keluarga mereka semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee ditalian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552375