EKONOMI

Subsidiari KPS Consortium Peroleh Aset Industri Di Rawang Bernilai RM45.5 Juta

30/04/2026 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Subsidiari milik penuh KPS Consortium Bhd (KPSCB), KPS Plywood Sdn Bhd, memeterai tiga perjanjian jual beli berasingan dengan Nautical Wealth Sdn Bhd (dalam pembubaran) bagi memperoleh beberapa hartanah di Rawang, Selangor, pada harga RM45.5 juta.

Hartanah berkenaan terletak di Taman Industri Nautical Rawang, Gombak, Selangor, merangkumi 16 unit kilang berkembar empat tingkat, 13 unit kilang kos rendah satu tingkat serta satu lot tanah yang menempatkan sebuah kilang sesebuah empat tingkat.

Perjanjian itu dimeterai menerusi pelikuidasi yang dilantik oleh penjual, Chong Chuan Long.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KPSCB memaklumkan pemerolehan itu adalah bagi tujuan pelaburan.

“Pemerolehan ini dijangka tidak memberi kesan material kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, tahap penggearan, modal saham atau pegangan saham langsung dan/atau tidak langsung pemegang saham utama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026,” menurut kenyataan itu.

KPSCB turut memaklumkan lembaga pengarah tidak menjangkakan sebarang risiko khusus daripada pemerolehan tersebut selain risiko pasaran biasa.

“Lembaga pengarah berpendapat pemerolehan ini adalah demi kepentingan terbaik kumpulan,” katanya, sambil menambah urus niaga itu dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perjanjian dimeterai.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551529