DUNIA

Saintis Australia Bangunkan Teknologi Sel Stem Baharu Untuk Penyakit Darah, Kanser

02/05/2026 04:36 PM

MELBOURNE, 2 Mei (Bernama-WAM) -- Penyelidik Australia di Murdoch Children’s Research Institute (MCRI) di Melbourne memaklumkan mereka telah membangunkan rawatan inovatif bagi penyakit darah dan kanser yang bertujuan meningkatkan kadar pemulihan, memperluas akses kepada rawatan serta mengurangkan kos berkaitan pemindahan sumsum tulang, dalam apa yang disifatkan sebagai penemuan saintifik dan perubatan pertama seumpamanya di dunia.

Profesor Andrew Elefant, yang mengetuai pasukan penyelidikan itu, berkata pembangunan sel stem darah kekal sebagai antara cabaran paling kompleks dalam sains bioperubatan, sambil menjelaskan sel berkenaan amat jarang ditemui dalam tubuh manusia dan sukar dihasilkan, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Beliau menambah bahawa selepas lebih 25 tahun penyelidikan, pasukan itu berjaya meniru peringkat perkembangan embrio di makmal.

Teknik berkenaan melibatkan penghasilan sel darah manusia di makmal daripada sel stem, yang berpotensi membolehkan pemindahan sel stem digunakan sebagai alternatif kepada pemindahan sumsum tulang bagi pesakit yang tidak mempunyai penderma yang sepadan sepenuhnya.

Teknologi itu juga berpotensi membetulkan kecacatan genetik dalam perkembangan sel stem darah yang menyebabkan penyakit, selain membuka pelbagai aplikasi klinikal berkaitan sistem imun pada masa hadapan.

Elefant berkata eksperimen makmal telah menunjukkan keberkesanan sel berkenaan, termasuk keupayaannya memulihkan sistem darah dalam model haiwan, sekali gus menandakan langkah penting ke arah ujian klinikal ke atas manusia pada fasa seterusnya.

-- BERNAMA-WAM

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552047