KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Studio animasi tempatan MONSTA mendominasi Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2026 (AHIN) anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) apabila membawa pulang empat pengiktirafan utama termasuk Anugerah Khas (Pencapaian Komersial).
Dalam kenyataan hari ini, MONSTA memaklumkan pengiktirafan itu bukan sahaja memperkukuh reputasinya sebagai pencipta kandungan malah turut membina ekosistem harta intelek yang mampan dan berdaya saing pada peringkat global.
Selain anugerah khas, studio itu turut menerima gangsa bagi Anugerah Utama: Organisasi Terunggul Harta Intelek (Pengurusan Harta Intelek Terbaik), emas anugerah Nadi Kreatif (Hak Cipta) menerusi siri BoBoiBoy Galaxy musim kedua serta emas anugerah Juara Jenama (Cap Dagangan) menerusi BoBoiBoy Watch.
“Pengiktirafan ini mencerminkan keupayaan MONSTA dalam menyusun, melindungi dan mengembangkan aset harta intelek (IP) secara strategik, daripada penciptaan kandungan hingga ke peluasan nilai komersial merentasi pelbagai platform dan industri,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Nizam Abd Razak berkata kemenangan besar itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap karya tetapi juga terhadap disiplin dalam pengurusan IP, aspek yang semakin kritikal dalam ekonomi kreatif masa kini.
“Kami sentiasa memberi fokus kepada inovasi dalam setiap IP yang dibangunkan di samping memastikan perlindungan yang kukuh terhadap aset teras kami.
“Peranan MyIPO amat penting dalam membantu kami memastikan IP kami tidak disalah guna oleh pihak ketiga. Pada masa sama, diversifikasi IP ialah keperluan kerana potensi dalam satu IP itu sangat luas dan terpulang kepada kita untuk berani meneroka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Media MONSTA Faiz Zainal Aabidin berkata selama lebih satu dekad, MONSTA telah berkembang daripada studio animasi tempatan kepada sebuah IP enabler yang menggabungkan penceritaan, teknologi, pemasaran dan perdagangan dalam satu ekosistem bersepadu.
“Bagi kami, animasi bukan sekadar kandungan di skrin, ia pengalaman 360 darjah, daripada televisyen ke pawagam, media sosial dan produk fizikal seperti mainan berkualiti sehingga ke kolaborasi dengan jenama lain.
“Kepercayaan rakan industri dan kemampuan kami mengeksport IP ke lebih 70 negara membuktikan IP Malaysia mampu berdiri di pentas global,” katanya.
Seiring dengan tema Hari Harta Intelek Negara tahun ini “Dari Idea ke Podium: Harta Intelek Nadi Malaysia MADANI”, pencapaian MONSTA membuktikan idea tempatan apabila diurus dengan strategi yang tepat, mampu berkembang menjadi aset bernilai tinggi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
-- BERNAMA