KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengambil langkah proaktif di bawah kerangka transformasi MyIPO NextGen bagi memperkukuh peranan agensi itu dalam memacu ekonomi berteraskan inovasi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata melalui MyIPO NextGen yang merupakan Pelan Strategik 2025-2030, agensi itu bukan sekadar berperanan sebagai badan pendaftaran harta intelek, tetapi juga pemudah cara pertumbuhan ekonomi, penggerak daya cipta dan rakan strategik kepada industri serta pencipta negara.
Beliau berkata transformasi itu memberi tumpuan kepada pemodenan sistem penyampaian perkhidmatan, pendigitalan proses kerja, pemerkasaan penilaian dan pengkomersialan harta intelek, serta perluasan penggunaan harta intelek sebagai aset bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk pembiayaan dan pembangunan perniagaan.
"Transformasi ini juga akan memperkukuh keupayaan negara dalam berdepan cabaran masa depan melalui penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), peningkatan kecekapan pemeriksaan permohonan, serta penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas
"Inilah komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif sebagai negara inovatif yang diyakini di peringkat serantau dan global," katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2026, di sini hari ini.
Armizan berkata usaha transformasi MyIPO merupakan komponen kritikal dalam menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang antara lain meletakkan inovasi dan pengkomersialan harta intelek sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, pendekatan ini bukan sahaja akan memacu kedaulatan teknologi tempatan, malah memastikan harta intelek menjadi penyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selaras dengan matlamat ekonomi MADANI yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Beliau berkata kajian pindaan kepada beberapa akta utama berkaitan paten, cap dagangan, reka bentuk industri, dan hak cipta juga sedang dilaksanakan bagi memastikan sistem perlindungan harta intelek negara kekal utuh, responsif, dan berdaya saing di peringkat global.
Dalam pada itu, beliau berkata aspek pendaftaran harta intelek dan pengkormesialan dalam bidang sukan juga akan dipergiat bagi meningkatkan sumbangan sektor itu kepada KDNK.
"Pengkomersialan harta intelek sukan perlu diperkasakan. Jika dilihat nilai global bagi hak penyiaran sukan dianggarkan mencecah USD55.2 bilion namun di Malaysia potensi ini masih kurang mendapat perhatian kerana lebih fokus kepada aktiviti dan acara berbanding hak perlesenan," katanya.
Sehubungan dengan itu, Armizan berkata tema sambutan Hari Harta Intelek Sedunia tahun ini 'IP & Sukan: Dari Idea ke Podium' menonjolkan hubungan antara harta intelek dan pembangunan industri sukan yang bukan sekadar medan persaingan fizikal dan semangat juang atlet, malah mewujudkan ekosistem inovasi berpaksikan harta intelek.
Armizan berkata pendaftaran harta intelek menunjukkan peningkatan saban tahun dan bagi tempoh 2024-2025, sebanyak 15,350 pendaftaran paten direkodkan dengan 118 daripadanya berkaitan sektor sukan, manakala pendaftaran cap dagangan mencecah 115,850 dengan 1,812 berkaitan sukan.
Pada majlis itu, Anugerah Inspirasi MADANI turut disampaikan kepada enam penerima iaitu jaguh berbasikal trek negara Datuk Muhammad Azizulhasni Awang, Institut Sukan Negara, Johor Darul Ta'zim FC, Astro Arena, Petroleum Nasional Berhad dan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd.
-- BERNAMA