Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (Denmark), 29 April (Bernama) -- Perbezaan ketara antara budaya latihan Asia dan Eropah menjadi pengalaman pembelajaran penting buat bekas pemain beregu campuran negara Tan Kian Meng sejak memegang peranan kejurulatihan bersama Persatuan Badminton England (BAE).
Kian Meng, yang menggalas jawatan sebagai ketua jurulatih beregu England sejak Oktober lepas berkata perbezaan itu telah mencetuskan misi untuk mencari formula kemenangan yang menggabungkan kelebihan terbaik daripada kedua-dua budaya berkenaan.
Bekas pemain berusia 31 tahun itu berkata struktur latihan yang lebih singkat dan kurang intensif di Eropah memberikan cabaran tersendiri dalam meningkatkan tahap keseluruhan pemain badminton.
“Di Eropah, latihan paling lama pun hanya 90 minit, berbanding Asia yang kebiasaannya selama dua hingga tiga jam.
“Saya mahu beri pemain program yang agak lama sedikit, mungkin dalam dua hingga dua jam setengah. Jika terlalu panjang namun tiada kualiti pun tidak guna juga,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa Final Piala Thomas dan Uber 2026 di sini.
Kian Meng yakin memanjangkan sedikit sesi latihan anak buahnya akan membantunya menangani satu isu utama, iaitu konsistensi kerana aspek itu akan menjadi lebih kritikal di bawah sistem pemarkahan baharu 3x15, yang akan berkuat kuasa pada 4 Jan 2027.
“… terutamanya apabila anda bermain 3x15 mata, konsistensi lebih penting. Anda mesti konsisten dahulu, kemudian anda mesti pantas.
“Anda tidak boleh hanya pantas tetapi tidak konsisten, ia tidak berguna kerana 15 mata sangat cepat. Jika anda hanya konsisten tetapi tidak agresif, ia juga tidak mencukupi. Jadi, anda perlu gabungkan kedua-duanya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau melihat potensi dalam skuad muda England, yang kebanyakannya berusia antara 19 hingga 21 tahun, namun menegaskan mentaliti kekal menjadi pembeza utama.
Kian Meng ketika mengulas mengenai kekuatan semasa England berkata juara baharu beregu lelaki Kejohanan Eropah dan pemain ranking ke-12 dunia Ben Lane-Sean Vendy kekal sebagai tonggak utama negara itu serta antara ancaman terbesar Eropah terhadap dominasi Asia.
“Setakat ini, mereka satu-satunya pasangan pada tahap itu. Sasaran saya adalah untuk mempunyai lebih banyak pasangan menembusi kelompok 10 terbaik atau 20 terbaik menjelang 2028,” katanya.
Selepas menandatangani kontrak sehingga 2028, beliau berharap projeknya bersama pasukan badminton England akan membuahkan hasil, khususnya merapatkan jurang yang lebih besar dalam bahagian beregu menjelang Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Kian Meng ketika mengulas mengenai kempen England pada Final Piala Thomas 2026 berkata beliau yakin masih terdapat ruang untuk penambahbaikan selepas pasukan itu gagal mara ke suku akhir susulan kekalahan 2-3 kepada Malaysia dan tewas 0-5 kepada Jepun.
Ketika ditanya mengenai peralihan daripada pemain kepada jurulatih, Kian Meng yang menggantung raket selepas Seluruh England 2025 di Birmingham mengakui beliau menikmati peranan baharu itu dengan semangat yang diperbaharui.
“Saya memang sangat menikmati tugas sebagai jurulatih sekarang. Ia benar-benar berbeza berbanding menjadi pemain,” katanya.
Kian Meng, yang pernah menjadi pasangan tetap Lai Pei Jing sebelum ini memenangi pingat gangsa beregu campuran pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dan muncul juara Terbuka Korea 2022.
Final Piala Thomas 2026, yang bermula pada 24 April akan berlangsung sehingga 3 Mei.
-- BERNAMA