AM

Pelantikan Abdul Halim Bukan Sekadar Peralihan, Amanah Besar Perkukuh Integriti - MCPF

29/04/2026 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu disifatkan bukan sekadar peralihan kepimpinan tetapi satu amanah besar dalam memelihara kedaulatan undang-undang dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi itu, menurut Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Naib Pengerusi MCPF Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui berkata Abdul Halim diyakini mampu menerajui SPRM dengan integriti tinggi, pendirian tegas dan kepimpinan berani serta berwibawa apabila memulakan tugas pada 13 Mei ini.

“Masyarakat hari ini meletakkan harapan yang tinggi terhadap SPRM. Kepimpinan baharu perlu membuktikan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata, bahawa institusi ini benar-benar bebas, profesional dan berkeupayaan melaksanakan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

King Lim berkata usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan secara konsisten dan adil tanpa menimbulkan persepsi pendakwaan terpilih manakala setiap kes mesti ditangani berdasarkan fakta dan bukti tanpa mengira latar belakang, kedudukan atau pengaruh.

Beliau berkata rasuah bukan sekadar isu perundangan tetapi menjejaskan tadbir urus, keyakinan pelabur dan pembangunan negara. Justeru, MCPF komited bekerjasama dengan SPRM dalam memperkukuh kesedaran awam, pendidikan integriti dan usaha pencegahan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Apa yang rakyat mahu lihat adalah tindakan yang jelas, siasatan yang telus serta hasil yang mencerminkan keadilan dan keberanian. Apabila SPRM berani menyiasat dan bertindak secara terbuka, keyakinan terhadap institusi ini akan kembali kukuh,” tambahnya.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu, yang dijadualkan memulakan tugas secara rasmi pada 13 Mei ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551056