Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 29 April (Bernama) -- Langkah mengembalikan status bebas cukai kepada Labuan perlu diberi pertimbangan sewajarnya sepertimana cadangan untuk Langkawi dalam usaha menyokong sektor pelancongan, runcit serta perniagaan di wilayah berkenaan, menurut Perbadanan Labuan (LC).
Pengerusi Datuk Bashir Alias berkata perkara itu turut mendapat persetujuan sebulat suara LC pada mesyuarat kedua yang berlangsung hari ini dan menegaskan Labuan tidak harus terpinggir dalam sebarang semakan berkaitan dasar bebas cukai.
Beliau berkata sebagai sebuah wilayah persekutuan dan di bawah pentadbiran langsung Kerajaan Persekutuan, Labuan layak menikmati layanan sama berikutan peranannya sebagai pulau bebas cukai bagi tempoh yang lama selain menjadi hab perniagaan dan pelancongan serantau.
“Sehubungan itu, jika Langkawi dipertimbangkan untuk mengembalikan semula status bebas cukai sepenuhnya, maka Labuan juga perlu diberi layanan sama.
“Labuan sudah menjadi pulau bebas cukai selama beberapa dekad dan status ini kekal antara tarikan ekonomi utamanya. (Oleh itu) sebarang had atau pengurangan dalam skop keistimewaan bebas cukai boleh menjejaskan perniagaan tempatan, perbelanjaan pelancongan serta keyakinan pelabur,” katanya kepada Bernama selepas mesyuarat itu di sini, hari ini.
Pada masa sama, Bashir berkata struktur ekonomi Labuan berbeza daripada negeri di tanah besar dengan kos logistik lebih tinggi, saiz pasaran terhad serta kebergantungan kepada barangan import.
Beliau berkata status bebas cukai itu telah membantu mengimbangi cabaran berkenaan dengan meningkatkan daya saing pulau berkenaan sebagai destinasi beli-belah, pelancongan dan perniagaan.
“Status bebas cukai ini bukan sekadar mengenai harga barangan lebih murah...ini adalah sebahagian daripada identiti ekonomi Labuan selain menjadi mekanisme untuk menarik pengunjung, pelabur dan aktiviti perniagaan.
“Jika status itu dikurangkan, Labuan kehilangan salah satu kelebihan utama, khususnya ketika pulau ini masih berusaha mengukuhkan sektor pelancongan, pelabuhan, logistik dan komersial,” katanya.
Atas alasan itu, Bashir berkata Labuan perlu diberi layanan adil dalam aspek perancangan ekonomi negara, termasuk mengambil kira sumbangan wilayah itu menerusi peranan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan, sektor minyak dan gas, aktiviti pelabuhan serta perdagangan serantau.
Beliau juga menyifatkan kewujudan rangka kerja bebas cukai yang menyeluruh dapat membantu merancakkan semula ekonomi tempatan, melonjakkan kehadiran pelancong dan menyokong perniagaan dengan limpahannya kepada hotel, restoran, pengendali pengangkutan serta perusahaan kecil.
“Perlu ada pendekatan yang seimbang. Jika ada kebimbangan terhadap penyalahgunaan keistimewaan bebas cukai, (maka aspek) penguatkuasaan boleh diperkukuh...penyelesaiannya bukanlah dengan mengurangkan daya saing Labuan.
“Apa yang Labuan perlukan adalah sokongan dasar yang lebih jelas, infrastruktur lebih baik, ketersambungan yang kukuh dan rangka kerja bebas cukai yang mampu merangsang aktiviti ekonomi,” katanya.
Bashir berkata status bebas cukai itu juga perlu dijadikan sebahagian daripada agenda pembangunan Labuan secara meluas, termasuk usaha menarik pelancongan kapal persiaran, pengunjung serantau dari Sabah, Sarawak, Brunei serta wilayah Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) serta pelabur dalam perkhidmatan kewangan serta minyak dan gas.
Sebarang usaha pengukuhan rangka kerja itu akan turut melengkapi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan membantu mempelbagaikan tawaran pelancongan di luar destinasi utama tanah besar, katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilaporkan berkata kerajaan akan meneliti cadangan untuk mengembalikan status bebas cukai kepada Langkawi bagi merancakkan semula ekonomi pulau itu selain tarikan sebagai destinasi pelancongan.
Di bawah Belanjawan 2026, keistimewaan bebas cukai di Langkawi dan Labuan dilaporkan menerima impak susulan langkah termasuk duti ke atas produk tembakau serta had pengecualian cukai kenderaan bagi kenderaan bernilai RM300,000 ke bawah.
-- BERNAMA