AM

Raja Permaisuri Agong Rai Pelajar Cemerlang SPM, STAM B40 

29/04/2026 08:39 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Meraikan Pelajar-Pelajar Cemerlang di Istana Negara, di sini.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada 66 daripada 210 penerima, yang terdiri daripada pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dalam kalangan keluarga B40.

Penerima sumbangan hari ini terdiri daripada 10 pelajar cemerlang bagi setiap kategori, iaitu SPM Kebangsaan, SPM Negeri Johor, SPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, SPM Sekolah Agama Bantuan Kerajaan serta Maktab Rendah Sains MARA, selain enam daripada SPM Putrajaya.

Turut menerima sumbangan daripada Raja Permaisuri Agong ialah 10 pelajar cemerlang peperiksaan STAM.

Hadir sama pada majlis ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Aminuddin Hassim serta Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550967