GAYA HIDUP

Muar Bakal Miliki Pawagam Sendiri Di Bawah Pelan Pengembangan Fst

28/04/2026 02:50 PM

Oleh V. Sankara 

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Muar bakal memiliki pawagam sendiri apabila FST Cinemas merancang membuka kompleks pawagam baharu dengan bangunan sendiri yang mempunyai tujuh dewan di bandar Johor itu menjelang suku ketiga 2027, kata Pengurus Besar Dr Sai Suthan Krishnan.

Beliau berkata projek yang akan dibangunkan sebagai sebahagian daripada The Hub Business Park Muar dengan kerjasama YKL Capital Sdn Bhd itu akan mempunyai kapasiti antara 800 hingga 900 tempat duduk.

Sai Suthan berkata projek berkenaan akan menyediakan akses pawagam kepada penduduk Muar, yang ketika ini tidak mempunyai pawagam yang beroperasi, selain menyokong strategi FST untuk berkembang ke pasaran pinggir bandar yang kurang mendapat perkhidmatan dan kurang diterokai.

“Kami meletakkan diri sebagai pawagam kejiranan yang mesra. Muar ketika ini tidak mempunyai pawagam yang beroperasi, dan kami melihat peluang untuk membawa pengalaman itu lebih dekat kepada komuniti,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Jenama FST yang dihadiri Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac serta selebriti tempatan di sini pada Jumaat lepas.

pic-2

Beliau berkata pawagam dengan bangunan sendiri, berbanding yang terletak dalam pusat beli-belah, direka untuk menawarkan pengalaman menonton filem yang berbeza, dengan penambahbaikan dari segi tempat duduk, sistem bunyi, kualiti tayangan, suasana dan kemudahan jualan menjadi sebahagian daripada strategi penjenamaan semula FST.

Sai Suthan berkata projek di Muar itu adalah sebahagian daripada pelan pengembangan lebih luas kumpulan berkenaan, dengan FST menyasarkan untuk berkembang daripada 16 pawagam ketika ini kepada sekurang-kurangnya 21 menjelang suku keempat 2027.

Beliau berkata penjenamaan semula itu mencerminkan identiti bersepadu merangkumi bahagian pameran filem, pengedaran dan penerbitan FST, yang berteraskan kedudukan baharunya sebagai “Pawagam Kejiranan Mesra Anda” dengan slogan “Rasai Cerita Bersama”.

Sejajar dengan strategi pertumbuhannya, beliau berkata FST, sebuah syarikat hiburan Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pasaran pinggir bandar sambil melabur dalam transformasi digital bagi menambah baik operasi dan pengalaman pelanggan.

pic-3

Dalam pada itu, Sai Suthan berkata sokongan terhadap produksi tempatan telah meningkat dengan ketara, dengan judul Malaysia kini menyumbang lebih 50 peratus daripada permintaan penonton, berbanding nisbah sebelum ini 70:30 yang memihak kepada filem asing.

“Ini menunjukkan sokongan yang semakin meningkat terhadap filem tempatan dan kami mahu terus menggalakkan trend itu,” katanya.

Beliau turut menekankan filem Tamil akan datang “Karuppu” yang dibintangi pelakon Tamil popular Suriya, yang dijadualkan ditayangkan pada 14 Mei sebagai contoh produksi yang direka khusus untuk pengalaman layar besar.

Sementara itu, Hans Isaac dalam ucapannya berkata industri filem tempatan Malaysia mencatatkan jualan tiket tertinggi pernah direkodkan tahun lepas, mencecah RM240 juta, sekali gus mencerminkan pemulihan kukuh pascapandemik serta peningkatan sokongan orang ramai terhadap produksi tempatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550209