GAYA HIDUP

Sakura Band Kembali Dengan Re:start, Simbol Kebangkitan Semula

30/06/2026 05:55 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

BUTTERWORTH, 30 Jun (Bernama) -- Selepas lebih sedekad menghilang daripada radar muzik arus perdana, Sakura Band kini mengatur langkah dengan nafas baharu dan perancangan yang lebih tersusun, bukan sekadar untuk melancarkan album terbaharu tetapi mengukuhkan semula nama mereka dalam industri muzik tempatan.

Kembalinya kumpulan yang pernah mencuri perhatian menerusi lagu-lagu seperti Polaroid dan Lepas Kamu itu hadir dengan satu misi yang jelas, iaitu membina semula momentum dan memastikan perjalanan kedua mereka mampu bertahan lebih lama.

Uniknya lagi, band yang dianggotai Melly Matius (Mell) sebagai vokalis, Ali Ezzati Musavi Abd Malek (Ali-gitar pertama), Muhammad Haniff Johari (Anip-gitar kedua) dan Mohd Haikal Mohd Zainin (Akai-bass) kekal utuh tanpa sebarang perubahan ahli.

Mell berkata judul album terbaharu mereka, RE:START adalah simbol permulaan baharu. Album yang memuatkan tujuh lagu ini merupakan penerbitan pertama Sakura Band dalam tempoh kira-kira 12 tahun, sekali gus menjadikannya antara projek paling bermakna buat setiap anggota kumpulan.

"Ini sebenarnya yang kami tunggu-tunggu dari dulu, jadi komitmen yang kami berikan memang 100 peratus. Persembahan dan promosi lagu, kami akan turun padang dan buat sehabis baik. Kami juga sanggup melabur untuk mempromosi lagu-lagu dalam album ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Keseluruhan album RE:START kini boleh didengari di semua platform digital, namun Sakura Band memilih pendekatan berbeza dengan memperkenalkan lagu-lagu dalam album itu secara berperingkat.

Langkah itu dimulakan menerusi single Masih, yang kini boleh ditonton di YouTube dan menjadi pembuka jalan kepada karya-karya lain dalam album tersebut.

Mell berkata strategi itu dipilih bagi memastikan setiap lagu mendapat ruang yang mencukupi untuk dinikmati dan dihargai pendengar, berbanding dilancarkan serentak dalam tempoh singkat.

pic-2

Setakat ini, katanya, sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila jumlah tontonan dan pendengar di platform digital menunjukkan peningkatan positif.

Masih mengekalkan identiti pop rock yang menjadi kekuatan mereka sejak dahulu, album kali digarap dengan pendekatan yang lebih matang dan agresif.

Kata Ali perkembangan itu bukanlah pertukaran genre tetapi lebih kepada evolusi muzik yang berlaku seiring peningkatan usia dan pengalaman hidup ahli kumpulan.

"Dari segi identiti, ia masih Sakura Band malah penulisan lirik kami juga masih berkisar tentang perkara yang dekat dengan kehidupan seperti persahabatan dan pengalaman harian," katanya

Dalam pada itu, kumpulan tersebut turut mendedahkan bahawa penyertaan Mel dalam program realiti popular Gegar Vaganza (GV) juga sebahagian daripada perancangan bagi membantu memperkenalkan semula Sakura Band kepada khalayak. 

pic-3

Pendedahan tersebut menunjukkan kebangkitan Sakura Band bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya dirancang dengan teliti bagi memastikan kumpulan itu kembali relevan dalam landskap muzik semasa.

Dalam pada itu, Mell menjelaskan fokus utamanya ketika ini adalah kepada Sakura Band, namun tidak menolak kemungkinan menghasilkan material solo pada masa depan.

Selain berkongsi perjalanan muzik mereka, Sakura Band turut merakamkan penghargaan buat pengamal media yang dianggap memainkan peranan penting dalam perkembangan kerjaya mereka sejak awal pembabitan dalam industri hiburan.

"Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada wartawan kerana banyak membantu Sakura Band sejak dahulu lagi, daripada zaman majalah dan akhbar banyak artikel ditulis mengenai kami, Sampai sekarang kami masih simpan keratan-keratan artikel tersebut. Kami rasa terharu dan menghargai semua sokongan yang diberikan," kata Mell.

Dengan pelancaran album RE:START dan strategi promosi secara berperingkat, Sakura Band berharap dapat memperkenalkan semula karya mereka kepada peminat lama selain menarik perhatian generasi baharu yang mungkin tidak sempat mengikuti perjalanan kumpulan itu ketika era kegemilangannya dahulu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575000