AM

TikTok Shop, KPDN Lancar Inisiatif Sokongan Ekonomi RM180 Juta

30/06/2026 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) --  TikTok Shop dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini melancarkan inisiatif sokongan ekonomi untuk peniaga dan pengguna di Malaysia menerusi pengurangan kadar komisen bagi barangan keperluan, rebat penghantaran ke seluruh negara serta diskaun untuk barangan keperluan harian.

Inisiatif yang dilancarkan bersempena dengan Pesta #JomLokal itu, disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata syarikat itu percaya, ekosistem e-dagangnya boleh dimanfaatkan untuk mewujudkan impak sosioekonomi yang bermakna dengan kesan positif merentasi keseluruhan rantaian nilai.

“Menerusi inisiatif pengurangan kos sara hidup ini, TikTok Shop telah melaburkan lebih RM180 juta secara langsung kepada komuniti tempatan.

“Inisiatif ini akan membantu menyerap sebahagian kos operasi perniagaan tempatan serta mengurangkan beban kos sara hidup isi rumah di Malaysia, selain merangsang peluang pendapatan kepada Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, petugas barisan hadapan logistik, rakan agensi dan pencipta kandungan afiliasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi inisiatif itu, TikTok Shop telah memperluas pengecualian yuran komisen kepada lima subkategori baharu bagi barangan keperluan, menjadikan jumlah keseluruhan subkategori yang layak menikmati komisen sifar peratus, meningkat kepaa 56.

Lima subkategori baharu yang layak itu termasuklah susu, susu tepung, yogurt dan produk tenusu yang diperam, manakala yuran komisen penjual bagi 39 subkategori barangan keperluan lain dikurangkan antara 0.5 hingga 9.1 mata peratusan.

Selain itu, penjual akan menerima rebat sebanyak RM2 bagi setiap pesanan untuk membantu mengurangkan kos penghantaran ke seluruh negara, sekali gus membolehkan pengguna menikmati caj penghantaran yang lebih berpatutan.

Sementara itu, Armizan berkata kerajaan kekal komited memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat, khususnya menerusi usaha memperkukuh kemampuan rakyat, menyokong keusahawanan serta mewujudkan peluang yang lebih inklusif.

Beliau mengalu-alukan kerjasama proaktif TikTok Shop dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat Malaysia serta merancakkan perdagangan domestik.

“Ia membuktikan bagaimana platform digital mampu melengkapi usaha kerajaan dalam memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, supaya dapat menyertai ekonomi digital secara mampan, sekali gus meningkatkan kuasa beli rakyat Malaysia,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan KPDN bagi terus membantu meringankan perbelanjaan isi rumah sepanjang 2026, TikTok Shop menjadi platform e-dagang pertama menganjurkan Jualan Ihsan Rahmah secara dalam talian bersama dengan rakan runcit #JomLokal seperti Hero Market dan Kedai FGV, selain promosi secara siaran langsung (LIVE) eksklusif dengan pencipta kandungan terkenal.

Pengguna di Malaysia boleh menikmati baucar diskaun sehingga 30 peratus serta penjimatan tambahan, apabila membuat pembayaran menggunakan TikTok Pay untuk membeli barangan runcit dan keperluan harian seperti beras, gula, tepung.

Pesta #JomLokal anjuran TikTok Shop turut melengkapi pelaksanaan Jualan Rahmah oleh KPDN di lokasi fizikal, menerusi promosi khas yang ditawarkan oleh Homes Fresh Grocer.

Program itu menghimpunkan usahawan tempatan, pencipta kandungan afiliasi, pembeli dan rakan kongsi kerajaan bagi memperkukuh jenama Malaysia dan perdagangan domestik menerusi program peningkatan kemahiran digital, padanan perniagaan, perkongsian ilmu serta sokongan pemasaran.

Inisiatif itu selaras dengan kempen Jom Beli Produk Malaysia (Jom Malaysia) anjuran KPDN.

Sementara itu, pengasas Umooda, sebuah jenama tempatan #JomLokal di TikTok Shop, Zalina Zulkapli berkata sokongan yang diberikan oleh TikTok Shop memainkan peranan penting dalam membantu syarikat mengurus kos operasi serta mengekalkan aliran tunai yang sihat.

“Sebagai sebuah jenama Malaysia, fokus kami sentiasa untuk memastikan barangan keperluan harian kekal mampu dimiliki oleh keluarga, di samping menjaga kebajikan pasukan kami.

“Dengan pengurangan yuran penjual, kami berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menawarkan nilai yang lebih tinggi secara terus kepada pengguna serta melindungi mata pencarian pekerja kami, sambil terus mengembangkan perniagaan secara mampan dalam ekonomi digital,” katanya.

Pengasas Zulkifli Suli, sebuah lagi jenama tempatan #JomLokal di TikTok Shop, Zulkifli Suli berkata gabungan pengecualian yuran komisen penjual, sokongan kos penghantaran serta diskaun kepada pengguna mewujudkan nilai kepada keseluruhan ekosistem.

“Kami menghargai usaha TikTok Shop dalam menyokong penjual dan pembeli menerusi inisiatif ini.

“Ia membolehkan perniagaan tempatan seperti kami terus menawarkan harga yang kompetitif, di samping membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan, ketika isu kemampuan membeli masih menjadi keutamaan bagi kebanyakan isi rumah,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jualan Ihsan Rahmah, layari halaman #JomLokal di TikTok Shop di https://vt.tiktok.com/ZS96MVPUM6D7N-TyhxL/.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575065