DUNIA

Menteri Pertahanan Mali Meninggal Dunia Akibat Kecederaan Selepas Kediamannya Diserang

27/04/2026 11:43 AM

BAMAKO (Mali), 27 April (Bernama-Anadolu) -- Menteri Pertahanan Mali meninggal dunia di hospital akibat kecederaan dialaminya dalam serangan ke atas kediamannya, menurut jurucakap kerajaan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataan rasmi yang dibacakan oleh Jeneral Issa Ousmane Coulibaly menerusi televisyen nasional, kerajaan peralihan mengesahkan kematian Sadio Camara susulan “insiden pengganas” pada pagi sebelumnya.

Menurut kenyataan itu, penyerang terbabit memandu sebuah kereta sebelum meletupkan alat letupan bawaan kenderaan (VBIED) di kediaman menteri itu di Kati.

Camara dilaporkan berbalas tembakan dengan penyerang dan berjaya menewaskan beberapa daripada mereka sebelum cedera parah. 

Beliau kemudian dikejarkan ke hospital, namun meninggal dunia akibat kecederaannya.

Kerajaan berkata runtuhan kediaman menteri itu turut menyebabkan lebih ramai terkorban dan memusnahkan sebuah masjid berhampiran, dengan beberapa jemaah serta penduduk sekitar terbunuh.

“Dalam suasana yang amat mendukacitakan ini, Jeneral Assimi Goita, Presiden Peralihan, Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, kerajaan serta rakyat Mali merakamkan ucapan takziah kepada keluarga si mati,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549816