GAYA HIDUP

Rumah Batik Sri Wangsa Tawar Pengalaman Canting Batik Buat Pengunjung

27/04/2026 02:48 PM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 27 April (Bernama) -- Rumah Batik Sri Wangsa menjadi tarikan baharu di daerah ini, khususnya dalam kalangan pelancong, menerusi tawaran pengalaman mencanting dan mewarna batik sejak setahun lalu.

Pemiliknya Nadia Mohd Fuzi, 39, berkata usaha itu bertujuan memperkenalkan batik tempatan kepada pelancong luar terutamanya, memandangkan Mersing merupakan pintu masuk ke rangkaian pulau-pulau indah di perairan berkenaan.

“Sebelum menjalankan perusahaan ini saya terlibat dalam perniagaan kraf dan produk batik di Johor Bahru. Namun, selepas lebih 15 tahun, saya memutuskan untuk menghasilkan sendiri batik apabila kos operasi meningkat.

pic-2

“Sebelum ini kita jual produk batik dari Johor dan Terengganu,” katanya ketika ditemui Bernama di bengkelnya di sini baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, anak jati Mersing itu berkata beliau dan suami, Haiyat Md Hassim, 47, kembali ke daerah tersebut kira-kira tiga tahun lalu bagi memanfaatkan kehadiran ramai pengunjung yang menjadikan Mersing sebagai lokasi “wajib singgah”. 

Menghasilkan batik dengan motif flora dan fauna serta geometri, selain tanaman komoditi Johor antaranya nanas dan lada hitam serta pokok berembang, Nadia berkata batik keluarannya mendapat permintaan tinggi daripada pelawat di samping tempahan daripada institusi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

pic-3

"Kita boleh dikatakan antara bengkel terbesar di negeri ini menurut Kraf Tangan Johor kerana, kebanyakan penggiat kraf termasuk pembuat batik hanya beroperasi di belakang rumah tanpa bengkel besar untuk menerima bas (pelawat)," katanya yang mempunyai dua pekerja tetap dan dibantu 12 pekerja sambilan terlatih Kraftangan Malaysia daripada komuniti batik Mersing.

Nadia yang  berkelulusan Diploma Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA itu mendapat bimbingan daripada bapa saudaranya dikenali sebagai Pakcik Bujang, yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam pembuatan batik.

pic-4

Mengenai perancangan masa depan, beliau bercadang menaik taraf bengkel itu termasuk medan letak kenderaan bagi menampung jumlah pengunjung yang kian meningkat.

"Kami juga berhasrat membuka sebuah galeri kaca dua tingkat sarat dengan jiwa tradisi, menjadi mercu tanda pelancongan Mersing dan simbol kebanggaan Johor, di samping berperanan sebagai ruang pembelajaran generasi muda, dalam tempoh dua ke lima tahun lagi,”  katanya yang turut merancang meluaskan pasaran ke luar negara.

pic-5

Pengalaman mencanting batik di premis berkenaan bermula pada harga RM29 bagi saiz A4 berserta bingkai, manakala pakej lengkap termasuk mencanting dan mewarna pula RM35 dalam tempoh dua jam, dengan hasil kerja tangan dibawa pulang sebagai kenangan. 

-- BERNAMA 


FDM HJ NM

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549884