KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengucapkan selamat ulang tahun ke-92 kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang akan disambut esok.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata 27 April ialah tarikh penuh bersejarah buat TLDM, yang berperanan sebagai benteng pertahanan maritim negara dalam memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara.
Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan juga akan terus berusaha meningkatkan keupayaan aset dan kesiapsiagaan TLDM, di samping memastikan kesejahteraan warganya sentiasa diberi perhatian.
“Mewakili negara, saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai, anggota serta para veteran TLDM atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti dalam mempertahankan kedaulatan maritim negara. Jasa kalian sentiasa dihargai dan tidak sesekali dilupakan.
“Semoga TLDM terus melakar kecemerlangan, kekal gagah di samudera serta sentiasa dirahmati dalam melaksanakan amanah kepada negara,” katanya.
-- BERNAMA