KUALA LUMPUR, 25 April (Reuters) -- Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) pada Jumaat memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan sesi pendengaran awam minggu depan berhubung beberapa siasatan Seksyen 301 yang sedang dijalankan terhadap amalan perdagangan tidak adil membabitkan puluhan negara yang disyaki gagal mengambil tindakan mencegah import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Pendengaran itu akan berlangsung pada 28 hingga 29 April di ibu pejabat Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa AS di Washington, menurut pejabat Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer dalam satu kenyataan, lapor Reuters.
Pendengaran itu melibatkan 12 panel dan kira-kira 60 saksi merangkumi kumpulan advokasi, kumpulan hak asasi manusia, kumpulan industri AS serta wakil kerajaan asing.
USTR memulakan siasatan itu pada 12 Mac terhadap ekonomi 60 negara, dengan menyatakan negara-negara berkenaan gagal melarang import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Senarai itu termasuk beberapa rakan dagang utama dan sekutu AS seperti Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, Britain, Israel, India, Qatar dan Arab Saudi. China dan Rusia turut tersenarai.
Pentadbiran Presiden Donald Trump berusaha membina semula tekanan tarif terhadap negara-negara di seluruh dunia selepas Mahkamah Agung AS pada 20 Feb memutuskan tarif global yang dikenakannya sebagai tidak sah.
Greer berkata beliau berharap dapat menyelesaikan siasatan Seksyen 301 itu, termasuk cadangan langkah pemulihan, sebelum tarif sementara yang dikenakan Trump pada akhir Februari tamat pada Julai.
-- REUTERS