JASIN, 25 April (Bernama) -- Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang didakwa terlibat kes buli menggunting dan merosakkan pakaian pelajar lain telah dikenal pasti.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihak pengurusan MRSM terlibat telah menghantar laporan insiden itu dan siasatan telah disegerakan.
“Keluarga mangsa telah membuat laporan dan pelaku juga dikenal pasti. Selepas saya membuat pengumuman di media sosial berkaitan isu itu, pengurusan terus menghantar laporan.
“Ada perkara yang tidak dilaporkan pihak pengurusan MRSM kepada saya tetapi pengajaran yang diperoleh ialah setiap perkara harus diambil serius,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) MRSM Tun Ghafar Baba di sini hari ini.
Beliau berkata pelaku terlibat tidak terkecuali daripada dibuang MRSM, bergantung pada keseriusan kes kerana buli bukan sahaja melibatkan fizikal tetapi juga mental yang boleh memberi kesan terhadap mangsa.
Semalam, seorang pengguna Threads berkongsi keadaan pakaian adiknya, pelajar tingkatan satu di sebuah MRSM koyak dan rosak dipercayai akibat perbuatan buli, selain beberapa lagi barangan peribadi juga dirosakkan.
Hantaran itu mendapat respons Asyraf Wajdi yang menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli dalam institusi di bawah seliaan MARA dan tindakan tegas akan diambil ke atas pelajar terlibat.
-- BERNAMA