DUNIA

Penasihat Pertahanan Australia Kongsi Ikatan Peribadi Dengan Malaysia

25/04/2026 01:56 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bagi Belinda Edmunds, Malaysia bukan sekadar lokasi penempatan diplomatik, tetapi sebuah tempat yang terpahat dalam sejarah keluarganya merentasi generasi, dibentuk oleh perang, ketabahan dan penghijrahan.

Kini berkhidmat sebagai Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Australia, Kapten Kumpulan Edmunds berkata hubungan peribadinya dengan Malaysia bermula sejak tahun 1800-an, apabila nenek moyangnya mula tiba di rantau ini.

Beliau berkongsi bahawa moyangnya, seorang jurutera awam British, memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur di seluruh Tanah Melayu dan Singapura, termasuk jalan raya, jambatan dan aerodrom.

“Beliau seorang lelaki British, dan datang ke sini lalu berkahwin dengan wanita Malaysia. 

"Beliau seorang jurutera awam dan memainkan banyak peranan dalam pembinaan jalan raya, jambatan dan aerodrom,” katanya dalam satu temu bual.

Kisah keluarganya turut diwarnai detik sukar ketika Perang Dunia Kedua, apabila moyangnya ditangkap dan dipenjarakan sebagai tawanan perang di Singapura.

“Beliau tersilap ditangkap sebagai anggota tentera dan melalui keadaan yang amat sukar sebagai tawanan perang di penjara Changi dan Sime Road.

“Malangnya, ramai orang meninggal dunia ketika berada di kem tawanan perang kerana keadaan di sana sangat teruk. Mujurlah, beliau terselamat. Beliau tidak pernah pulih sepenuhnya, tetapi beliau terselamat,” katanya.

Dalam tempoh itu, moyang perempuannya dan anak perempuan mereka, iaitu nenek Edmunds yang dilahirkan di Ipoh, melarikan diri dari Kota Bharu, Kelantan, ke Singapura sebelum berpindah ke Scotland, dan hanya kembali ke Tanah Melayu selepas perang berakhir.

Perjalanan keluarganya kemudian berubah apabila neneknya bertemu seorang lelaki Australia yang berkhidmat di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua. 

Mereka kemudian berkahwin sebelum berpindah ke Australia pada pertengahan 1950-an.

“Jadi, ia benar-benar memberikan saya rasa yang sangat mendalam... terhadap budaya dan sejarah serta ketabahan luar biasa rakyat Malaysia,” katanya.

Edmunds berkata hubungan yang berakar umbi itu terus membentuk perspektifnya, membolehkan beliau berinteraksi dengan Malaysia bukan sahaja melalui diplomasi pertahanan, tetapi juga menerusi pemahaman peribadi.

“Saya merasakan mempunyai hubungan yang mendalam, bukan sahaja melalui hubungan pertahanan Australia-Malaysia, tetapi juga secara peribadi,” kata beliau.

Merujuk kepada hubungan peribadi dan pengalaman profesionalnya, Edmunds menyifatkan hubungan pertahanan Malaysia-Australia sebagai hubungan yang telah berkembang lebih tujuh dekad dan terus berevolusi.

“Kami mempunyai hubungan yang sangat erat di sini. Kami mempunyai program kerjasama pertahanan terbesar Australia di peringkat global dengan Malaysia. Begitulah pentingnya hubungan ini bagi kami,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu merangkumi operasi bersama, latihan, kerjasama teknologi dan hubungan antara rakyat, mencerminkan jalinan erat hubungan antara kedua-dua negara.

Antara inisiatif utama ialah Operasi Gateway, operasi paling lama dilaksanakan secara berterusan oleh Australia di peringkat global, yang dijalankan dengan kerjasama Malaysia.

“Kami telah melaksanakan lebih 3,500 misi penerbangan dalam tempoh 45 tahun,” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua negara turut bekerjasama rapat di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA), termasuk latihan seperti Bersama Shield dan Bersama Lima, dengan penekanan yang semakin meningkat terhadap bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana (HADR) serta pertahanan siber.

Beliau turut mengetengahkan projek infrastruktur Butterworth bernilai US$169 juta, yang menghimpunkan jurutera Australia dan Malaysia bagi membangunkan semula lapangan terbang di Pangkalan Udara Butterworth, sebuah kemudahan yang mula menjadi medan kerjasama kedua-dua negara kira-kira 70 tahun lepas.

Mengimbas pengalamannya di Pulau Pinang, tempat beliau tinggal bersama suami dan dua anak perempuannya, Edmunds menyifatkan komuniti Malaysia sebagai antara perkara yang paling membentuk pengalamannya.

“Orang-orangnya... sungguh baik. Ia sebuah komuniti yang sangat indah,” katanya, sambil menyatakan sokongan kakitangan tempatan dan persekitaran setempat yang ditemuinya.

Ketika kedua-dua negara bersiap sedia menyambut Hari ANZAC ke-111 pada Sabtu (25 April), Edmunds berkata acara itu kekal sebagai detik penting untuk mengenang jasa dan pengorbanan.

“Ia adalah untuk memperingati, merenung dan mengenang mereka yang mengorbankan nyawa dalam konflik. Khususnya di Malaysia, kami mengenang mereka, rakyat New Zealand, Australia dan Malaysia, yang kehilangan nyawa,” katanya.

Beliau menjelaskan keluarga yang terkesan serta mereka yang terus menderita akibat konflik berkenaan turut dikenang.

Edmunds juga mengimbas kembali lawatan ke Pulau Aur, lokasi nahas pesawat Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) pada 1999 membabitkan jet pejuang F-111G, tempat anggota terus memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban.

“Kami kehilangan dua juruterbang dan jurunavigasi jet pejuang yang paling terkemuka, terkenal dan elit dalam nahas pesawat itu. Oleh itu, kami kembali secara berkala untuk memperingati dan sentiasa mengenang pengorbanan mereka,” katanya.

Upacara memperingati ANZAC akan diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sandakan dan Kota Kinabalu, diakhiri dengan acara Alumni Pertahanan Malaysia-Australia di Sabah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549174