SANDAKAN, 25 April (Bernama) -- Beberapa mangsa kebakaran Kampung Bahagia di sini memohon pihak berwajib membuka lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS), susulan dakwaan mereka gagal mendaftar masuk berikutan pusat sedia ada telah penuh dan pendaftaran ditutup.
Ketiadaan ruang di lapan PPS yang sedang beroperasi ketika ini menyebabkan segelintir rakyat Malaysia yang terjejas mendakwa tercicir daripada senarai pendaftaran, sekali gus memaksa mereka bermalam di tapak runtuhan rumah masing-masing.
Seorang daripada mangsa, Almahmud Muhamir, 37, berkata dia telah pergi ke PPS Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi semalam untuk mendaftar, namun permohonan itu tidak diterima.
"Ketika di sana saya dimaklumkan tiada lagi pendaftaran, mahu daftar nama pun tidak dapat, borang tidak ada dan pendaftaran sudah ditutup. Saya merujuk kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua kampung seperti yang diarahkan, namun mereka juga buntu," katanya yang kini terpaksa tinggal di dalam khemah berdekatan tapak rumahnya yang terbakar.
Jelas pemandu lori itu, kelewatan mereka mendaftar bukanlah disengajakan, sebaliknya berpunca daripada kekangan menguruskan keluarga dan sisa runtuhan pascakebakaran.
Turut berdepan nasib sama, Siti Norlin, 35, yang juga seorang tenaga pengajar di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang meluahkan kekecewaan apabila butiran dirinya tidak direkodkan oleh pihak pengurusan PPS.
"Pihak pengurusan juga tidak pasti bila pendaftaran ke PPS akan dibuka semula," keluhnya yang bimbang terlepas peluang menerima bantuan awal daripada kerajaan negeri.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Jefrin Bakiri, 32, berkata ketiadaan ruang di PPS memaksanya dan keluarga hidup berbumbungkan langit serta berpanas pada waktu siang tanpa sebarang khemah untuk berteduh.
"Saya ke sana (PPS) pada 11.30 pagi, selain saya ramai juga yang mahu mendaftar tetapi mengalami nasib sama. Saya tidak dapat segera mendaftar kerana sibuk mengurus anak-anak dan berada di lokasi kebakaran," kata pekerja binaan itu.
Mangsa yang tercicir amat berharap pihak kerajaan segera campur tangan dengan membuka kemudahan PPS tambahan bagi memastikan tiada rakyat tempatan yang terpinggir daripada menerima bantuan perlindungan dan kewangan yang sewajarnya.
Tragedi yang berlaku pada Ahad lepas itu telah memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan mengakibatkan 9,007 penduduk Kampung Bahagia hilang tempat tinggal.
-- BERNAMA