DUNGUN, 25 April (Bernama) -- Pasukan bomba dan penyelamat menggunakan khidmat helikopter bagi membantu operasi pemadaman kebakaran hutan paya gambut yang semakin merebak ke kawasan penempatan penduduk di Kampung Baru, Kuala Abang, dekat sini bermula semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Terengganu Mohd Izwan Hashim berkata helikopter jenis Agusta AW139 daripada Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang telah digerakkan bagi melaksanakan operasi pengeboman air di kawasan kebakaran yang sukar diakses pasukan darat.
Beliau berkata bekalan air bagi operasi pengeboman udara itu diperoleh daripada sumber air berhampiran lokasi kebakaran, sekali gus membolehkan pengisian semula dilakukan dengan cepat dan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan pemadaman.
Mohd Izwan berkata kebakaran hutan berkenaan yang berlaku sejak Khamis lepas, dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal, kini telah merebak meliputi kira-kira kawasan 32 hektar dan masih dalam pemantauan pasukan bomba di lokasi kebakaran.
“Helikopter itu juga bertindak menghantar anggota pasukan pemadaman ke lokasi kebakaran yang sukar diakses, bagi mempercepatkan operasi pengawalan dan pemadaman api,” katanya kepada pemberita di sini hari
Mohd Izwan berkata sebanyak 52 anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran di hutan berkenaan, dengan tumpuan diberikan kepada usaha mengawal api daripada terus merebak serta melindungi kawasan penempatan berhampiran.
“Faktor angin kuat yang bertiup dari pelbagai arah turut menyebabkan kebakaran mudah merebak sekali gus menghasilkan kepulan asap tebal yang menjejaskan kawasan penempatan penduduk berhampiran,” katanya.
Beliau berkata sumber air dari pili bomba turut digunakan bagi melaksanakan operasi pemadaman di kawasan penempatan penduduk berhampiran.
“Kita berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran di kawasan yang agak jauh ke dalam hutan berikutan sumber air paya yang semakin kering, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman dan mengawal api daripada terus merebak,” katanya.
Beliau berkata penduduk yang sakit, warga emas serta bayi dan kanak-kanak dinasihatkan supaya berpindah sementara ke rumah ahli keluarga masing-masing berikutan keadaan asap tebal yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.
-- BERNAMA