JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Edar Dadah Tumpas Di Johor, Rampasan Dan Sitaan Cecah RM1.95 Juta

24/04/2026 04:41 PM

JOHOR BAHRU, 24 April (Bernama) -- Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan dan sitaan bernilai RM1.95 juta menerusi serbuan ke atas sebuah pangsapuri di kawasan Aliff Heights, Residensi Mutiara Indah di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata serbuan pada 12.30 tengah malam itu membawa kepada penahanan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 21 dan 24 tahun.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui lambakan dadah termasuk lebih 11.6 kilogram (kg) MDMA, 13 paket serbuk ekstasi (0.342 kg), satu paket ketamin (0.02 kg), satu paket syabu (0.11 kg) serta 1,796 pil Erimin 5 (0.5647 kg), selain peralatan pembungkusan semula.

"Pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Volkswagen Golf di parkir kediaman turut menemukan tiga paket ketamin dengan keseluruhan rampasan dianggarkan 12.95 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM1.8 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati dua suspek bertindak sebagai penyewa rumah, seorang lagi dipercayai dalang utama sindiket berusia 24 tahun bersama teman wanitanya.

Ab Rahaman berkata sindiket yang aktif sejak awal tahun ini menjadikan kediaman berpengawal sebagai lokasi simpanan dan pembungkusan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Katanya polis turut menyita pelbagai aset termasuk dua kereta dan wang tunai dengan nilai keseluruhan sitaan RM146,710, menjadikan jumlah rampasan dan sitaan mencecah RM1.95 juta.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati bekalan dadah tersebut diperoleh dari luar Johor.

"Ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzodiazepine, manakala seorang positif ketamin. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua mereka direman tujuh hari sehingga Ahad ini," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2548897