JENAYAH & MAHKAMAH

Buruh Didenda RM2,000 Pecahkan Cermin Kereta Guna Bata

24/04/2026 02:27 PM

IPOH, 24 April (Bernama) -- Seorang buruh didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kenderaan menggunakan sebiji bata, Selasa lepas.

Majistret S. Punitha menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Paremsvaran, 43, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada sembilan anak itu didakwa melakukan perbuatan khianat harta dengan memecahkan cermin sisi hadapan sebelah kiri kereta milik Muhammad Aidil Zikry Zalfri, 25, sehingga menyebabkan kerosakan melibatkan kerugian RM500.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kenderaan di Jalan Mustafa Al-Bakri di hadapan sebuah premis gajet di sini, kira-kira 11.40 malam, 21 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Dayang Nor Emilia Azman Shah yang mewakili tertuduh memohon denda ringan atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu kira-kira RM50 sehari dan merupakan penanggung tunggal keluarganya.

Beliau berkata tertuduh mempunyai sembilan anak, iaitu anak sulung berusia 19 tahun dan anak bongsunya baru sahaja dilahirkan pada 13 April, selain pengakuan bersalah pada peluang pertama menunjukkan rasa kesal tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira bagaimanapun, memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam memandangkan kes berkenaan telah tular di media sosial serta menyebabkan kerugian kepada pengadu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menghampiri pengadu dan mempromosikan khidmat menggilap kereta sebelum meletakkannya pada lampu kenderaan jenis Perodua Bezza tanpa kebenaran pengadu dan meminta bayaran RM60 bagi setiap lampu.

Apabila pengadu enggan membayar, tertuduh bertindak agresif dengan memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan menggunakan bata sehingga terkena dada isteri pengadu sebelum melarikan diri.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2548813