AM

Polis Pergiat Pemantauan Bendung Penyelewengan Petrol, Diesel Bersubsidi Di Padang Besar

22/04/2026 04:39 PM

PADANG BESAR, 22 April (Bernama) -- Polis mempergiat pemantauan di lapan stesen minyak sekitar daerah Padang Besar dalam usaha mengekang aktiviti penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata meskipun tiada kes tangkapan atau rampasan berkaitan penyalahgunaan bahan api itu sejak pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu pada 15 April lepas di daerah berkenaan namun pemantauan berterusan penting untuk mengelakkan berlaku ketirisan.

"Dalam kawasan daerah Padang Besar ada 11 stesen minyak, dua daripadanya sudah tidak beroperasi manakala satu daripada sembilan stesen minyak yang masih beroperasi ini tidak bersubsidi... jadi, tumpuan kita di lapan stesen minyak bersubsidi ini.

"Rondaan juga dilaksanakan secara menyeluruh meliputi elemen kereta peronda, trafik selain pasukan petugas khas yang ditubuhkan khusus untuk tujuan penguatkuasaan," katanya pada sidang media di sebuah stesen minyak di sini hari ini.

Mohd Shokri berkata pihaknya turut memberi tumpuan kepada kawasan dikenal pasti sebagai hotspot aktiviti penyelewengan itu termasuk pemantauan terhadap kenderaan menggunakan tangki tambahan.

“Sekiranya terdapat maklumat berkaitan penyelewengan atau aktiviti mencurigakan, tindakan segera akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2548071