JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Kelantan Tahan Kapal Nelayan Vietnam Menyamar Bot Tempatan

22/04/2026 06:57 PM

PASIR PUTEH, 22 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) dari Vietnam yang menyamar sebagai bot nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran Terengganu serta memasang bendera negeri itu dan Jalur Gemilang.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata vesel berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh aset APMM ketika rondaan di bawah Ops Damai, Ops Naga, Ops Pelantar dan Ops Tiris 4.0 pada 18 April lepas.

Beliau berkata ketika dihampiri untuk pemeriksaan, bot terbabit cuba melarikan diri selain bertindak agresif dengan membuang peralatan seperti tali, pukat dan tong ke laut serta enggan memberikan kerjasama walaupun diarahkan berhenti.

“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas anggota operasi, vesel itu berjaya dipintas dan ditahan pada kedudukan kira-kira 125 batu nautika dari Muara Tok Bali,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 13 kru warga Vietnam termasuk seorang tekong berumur 42 tahun berada di atas bot berkenaan, dengan kesemua mereka dianggarkan berumur antara 19 hingga 60 tahun.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati vesel itu disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia tanpa kebenaran, selepas menemukan hasil tangkapan laut dianggarkan seberat 500 kilogram.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel, peralatan dan hasil laut dianggarkan mencecah RM1.2 juta.

Kamal berkata kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala bot berkenaan dipercayai menggunakan nombor pendaftaran tempatan palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata taktik penyamaran itu berjaya dikesan kerana perbezaan ciri fizikal bot, termasuk tulisan pada badan vesel yang berwarna merah berbanding tulisan putih pada bot tempatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia Kelantan dalam memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara serta membanteras pencerobohan bot nelayan asing,” katanya.

Sementara itu, Kamal berkata pihaknya akan mempertingkatkan pemeriksaan terhadap vesel yang beroperasi di perairan negeri ini bagi menangani isu ketirisan dan penyeludupan diesel berikutan krisis bekalan global.

Beliau berkata pihaknya mempergiat pemantauan dan pemeriksaan terhadap vesel nelayan secara berterusan sebagai langkah pencegahan menerusi Op Tiris 4.0.

"Pemeriksaan akan dilaksanakan berdasarkan lesen yang dimiliki bagi memastikan perolehan diesel adalah selaras dengan kelayakan, berikutan kemungkinan berlakunya penyelewengan susulan pemberian subsidi kepada nelayan berdaftar.

“Sehubungan dengan itu, pemantauan serta perekodan setiap pembelian perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan kepada peraturan dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Kamal, walaupun terdapat kekangan dari segi keluasan kawasan pemantauan, setiap tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara profesional serta disokong dengan bukti yang kukuh sebelum sebarang tindakan diambil.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2548030