KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menggerakkan inisiatif Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi mempercepatkan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.
KDN dalam kenyataan memaklumkan MEKAR menyediakan perkhidmatan bergerak di kawasan insiden bagi membolehkan mangsa mendapatkan penggantian dokumen seperti Sijil Kelahiran, MyKid dan MyKad secara terus serta cepat tanpa perlu hadir ke pejabat JPN.
Menurut kenyataan itu, setiap permohonan penggantian disemak dan disahkan secara teliti berdasarkan rekod sedia ada dalam pangkalan data JPN yang komprehensif dan berintegriti tinggi, bagi memastikan hanya individu yang layak diberikan kemudahan berkenaan.
“Penggantian dokumen penting yang musnah atau hilang melibatkan JPN adalah Sijil Kelahiran, MyKid, MyKad, Sijil Kematian dan Sijil Perkahwinan Bukan Islam.
“Pada masa yang sama, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut menyediakan penggantian pasport secara percuma, tertakluk kepada syarat kelayakan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
KDN memaklumkan keutamaan akan diberikan kepada mangsa yang terjejas bagi memastikan tidak berdepan kesukaran berpanjangan akibat kehilangan dokumen pengenalan diri.
“Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI memastikan bantuan disampaikan secara cepat, mudah dan berperikemanusiaan, selaras dengan nilai ihsan dan keprihatinan,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi KDN di www.moha.gov.my, JPN di www.jpn.gov.my, atau JIM di www.imi.gov.my untuk maklumat lanjut.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penggantian percuma dokumen pengenalan diri dan berkaitan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia selepas melawat mangsa dan meninjau sendiri situasi kebakaran besar yang meranapkan 1,000 rumah pada Ahad lepas.
-- BERNAMA