AM

Lapan Pasukan Sertai Pesta Pantun HAWANA 2026, Angkat Warisan Dalam Era Digital

22/04/2026 10:11 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 yang memasuki tahun kedua penganjurannya bakal kembali mencuri tumpuan apabila lapan pasukan daripada pelbagai agensi kerajaan dan organisasi media bersaing untuk merebut gelaran juara acara itu tahun ini. 

Program yang diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 itu menyaksikan penyertaan daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Media Prima Berhad (TV3), Astro Radio News, Berita Harian, Sinar Harian, Media Selangor dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak berkata penganjuran edisi kedua yang mengangkat tema “Kewartawanan dan Teknologi” dilihat selari dengan perubahan landskap media masa kini, khususnya dalam menggabungkan elemen tradisional seperti pantun dengan realiti penyampaian maklumat yang semakin dipacu teknologi. 

“Tema berkenaan memberi ruang kepada penghasilan pantun yang menyentuh peranan dan pengaruh teknologi dalam landskap media masa kini,” katanya. 

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 anjuran Bernama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu akan berlangsung pada 9 Mei ini di Panggung Sari, Kompleks Kraf di Jalan Conlay di sini.

Program itu merupakan antara pengisian awal menuju kemuncak sambutan HAWANA 2026 yang dijadual berlangsung Jun ini. 

Juara akan membawa pulang RM3,000 berserta trofi dan sijil penyertaan, diikuti naib juara RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000, dengan masing-masing turut menerima trofi dan sijil.

Selain Pesta Pantun, HAWANA yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana turut menampilkan pelbagai acara, termasuk forum media, Fun Walk, pameran dan karnival sukan.

HAWANA yang memasuki edisi keenam sejak diperkenalkan pada 2018 merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

Selepas edisi pertama di Kuala Lumpur, kemuncak sambutan HAWANA diteruskan di Melaka pada 2022, Perak (2023), Sarawak (2024) dan Kuala Lumpur pada tahun lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547878