DUNIA

Tiada Wakil Iran Ke Pakistan Setakat Ini Bagi Rundingan Lanjut Dengan AS

21/04/2026 05:48 PM

ISTANBUL, 21 April (Bernama-Anadolu) -- Tiada delegasi Iran berlepas ke Pakistan setakat ini untuk menyertai satu lagi pusingan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar milik kerajaan Iran, IRIB.

“Setakat ini, tiada delegasi Iran berlepas ke Islamabad, Pakistan -- sama ada delegasi utama mahupun mana-mana delegasi sampingan, utama atau sekunder,” menurut penyiar itu.

IRIB memaklumkan bahawa pelbagai laporan media yang mendakwa satu delegasi Iran akan berlepas ke Pakistan atau rundingan dijadual berlangsung pada petang Isnin atau pagi Selasa adalah “tidak benar”.

Laporan itu turut memetik kenyataan pegawai Iran pada petang Ahad yang menunjukkan bahawa “penyertaan berterusan dalam rundingan bergantung pada perubahan tingkah laku pihak Amerika” dan Tehran menolak rundingan “di bawah bayangan ancaman”.

Pakistan menjadi tuan rumah bagi rundingan antara AS dan Iran pada 11 hingga 12 April selepas menjadi pengantara gencatan senjata selama 14 hari pada 8 April, yang dijadual berakhir pada Rabu.

Usaha sedang dijalankan untuk mengadakan satu lagi pusingan rundingan di Islamabad, namun ketidakpastian masih berterusan.

Presiden AS Donald Trump berkata adalah “amat tidak mungkin” beliau akan melanjutkan tempoh gencatan senjata dan sekatan laut akan kekal sehingga satu perjanjian dicapai bagi menamatkan perang yang bermula pada 28 Feb secara kekal.

-- BERNAMA-ANADOLU



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547654