Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 21 April (Bernama) -- Malaysia menyertai satu sesi meja bulat di Singapura pada Selasa bagi membincangkan situasi semasa di Selat Melaka, selaras dengan komitmen untuk memastikan kebebasan navigasi di kawasan itu terus terjamin.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang hadir pada sesi perbincangan tertutup itu, berkata sesi berkenaan berlangsung sempena penganjuran Minggu Maritim Singapura (SWM) 2026.
"Malaysia sebagai negara pesisir yang juga bertanggungjawab terhadap Selat Melaka komited untuk memastikan kebebasan navigasi dan juga kebebasan transit di Selat Melaka terjamin.
"Sebagai sebuah negara berdaulat dan juga ahli majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), kita komited terhadap sistem berasaskan peraturan yang setiap negara anggota memainkan peranan dan menghormati undang-undang antarabangsa," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pembukaan SMW 2026 di Suntec Convention Centre, di sini.
Dalam perkembangan lain, Loke turut memaklumkan bahawa pelaksanaan kerja-kerja akhir bagi kedua-dua stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Bukit Chagar dan Woodlands North berjalan lancar.
Beliau bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow telah mengadakan lawatan ke stesen Woodlands North pada Isnin bagi meninjau status semasa projek itu.
"Untuk memastikan projek ini dapat bermula tahun depan, persiapan di kedua-dua pihak perlulah diselaraskan.
"Saya juga telah menjemput (Siow) untuk melawat stesen Bukit Chagar untuk memastikan kita ada pelarasan dan koordinasi yang baik bagi supaya projek ni dapat disiapkan mengikut jadual," katanya.
Projek RTS Link yang dijangka beroperasi Januari 2027, mampu membawa 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap hala dengan menghubungkan Bukit Chagar di Johor dan Woodlands North di Singapura dalam masa lima minit.
-- BERNAMA